Budiman Mohd Zohdi

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baharu sahaja selesai mengadakan lawatan ke China dengan alasan untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negara itu.

Walaupun belum ada apa-apa laporan rasmi lagi mengenai hasil lawatan itu, ternyata segala yang cuba diraih oleh kerajaan negeri adalah hasil dari inisiatif dan kerja keras yang telah dimulakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurut Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggerakkan pelbagai usaha membawa masuk pelaburan dari China sama ada melalui Government-to-Government (G2G), Businesss-to-Business (B2B) mahupun People-to-People (P2P) termasuk yang dibuat ketika lawatannya ke China Mei lalu.

Katanya, hasil daripada lawatan Perdana Menteri itu, jumlah pelaburan China ke Malaysia mencecah lebih RM30 bilion.

“Usaha Kerajaan Persekutuan ini juga telah memungkinkan syarikat terkenal dari China iaitu Ali Baba Group untuk membuka hab pengedarannya di Sepang yang secara langsung dan tidak langsung akan membawa pulangan kepada kerajaan Selangor.

“Namun, kejayaan Perdana Menteri membawa sejumlah pelaburan yang besar ini telah dijadikan modal politik apabila pihak pembangkang mendakwa Kerajaan Persekutuan sedang menjual negara kepada China.

“Harus diingatkan, keberadaan Mohamed Azmin di China tidak mungkin akan berlaku jika tiadanya usaha yang dibuat oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Budiman, lawatan menteri besar adalah tindakan hipokrit pembangkang yang selama ini menyatakan segala usaha pelaburan dibuat Kerajaan Persekutuan sebagai tidak memberi keuntungan kepada negara.

Jelas beliau, rakyat juga tidak harus ditipu melalui segala terma ekonomi dan pelaburan yang digunakan pembangkang dalam cubaan mengelirukan kefahaman rakyat serta membandingkan usaha mereka dengan perkara yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan.

“Rakyat tidak lupa sikap hipokrit pembangkang apabila kerajaan Pulau Pinang turut sama mendapatkan pinjaman dari China bagi menampung perbelanjaan pembangunan di negeri itu.

“Apa yang pasti, pembangkang hari ini umpama meludah ke langit. Cukup-cukuplah mengelirukan rakyat dengan sikap hipokrit mereka dan cuba meraih keuntungan dari hasil usaha yang telah mereka kritik sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette