Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Selepas tiga minggu berturut-turut menyaksikan kemasukan pelaburan asing, para pelabur global mengambil langkah mengurangkan pelaburan sebelum hujung minggu yang panjang.

Menurut MIDF Research, pelabur asing membawa keluar RM477.7 juta minggu lepas berbanding kemasukan dana sebanyak RM345.1 juta bersih.

“Ini merupakan kali pertama pelabur-pelabur asing menjual lebih daripada RM400 juta tahun ini menjadikannya pengeluaran paling besar setakat ini.

“Kali terakhir penjualan asing mencapai paras tersebut adalah pada hujung Disember 2016,” kata firma penyelidikan tersebut dalam laporan mingguannya.

Menurut firma penyelidikan tersebut, pelabur-pelabur antarabangsa merupakan penjual bersih dalam masa tiga hari terakhir dagangan.

Pada Rabu, mereka merekodkan pengeluaran terbesar dalam tempoh sehari sejak 30 Jun dengan transaksi sebanyak RM221 juta. – MalaysiaGazette