KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) meraikan sekiranya Tan Sri Khalid Ibrahim sudi bersama BN.

Bekas Menteri Besar (MB) Selangor dalam kerajaan PKR itu diraikan sekiranya berminat, kata Tan Sri Noh Omar yang juga Pengerusi BN Selangor.

“Penyertaan beliau (Khalid) boleh menyokong usaha menunjukkan kepada rakyat mengenai tatacara dan perancangan yang pernah dilaksanakan tiga bekas menteri besar semasa membangunkan Selangor,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Noh, penyertaan Khalid untuk bersama tiga lagi bekas menteri besar boleh membantu menjelaskan kepada rakyat tentang bagaimana dasar yang dirangka pada zaman pentadbiran mereka dahulu adalah landasan kepada kemajuan Selangor sekarang.

Ketiga-tiga mereka ialah Tan Sri Abu Hassan Omar, Dr. Mohamad Khir Toyo dan terbaharu, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang telah kembali kepada UMNO.

Tan Sri Muhammad Muhd. Taib 

Bagaimanapun setakat ini belum ada kenyataan daripada Khalid mengenai kemungkinan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu menyertai UMNO.

Sebelum itu, Khalid dikatakan ‘mesra’ dengan Pas dan beberapa kali bersama presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang namun beliau menafikan akan bersama Pas.

Malah beliau pernah menyatakan kepada Malaysia Gazette untuk tidak lagi bertanding dalam PRU-14 walaupun sebagai calon bebas.

Bagaimanapun siapa tahu, kemungkinan bekas ahli korporat yang disingkirkan oleh PKR itu mahu menyertai UMNO dan mengikuti jejak Muhammad.

Mungkinkah Khalid yang disebut-sebut oleh beberapa pimpinan utama UMNO mengenai kemungkinan ada lagi bekas pemimpin pembangkang akan menyertai UMNO.

Ada pihak terutama Pakatan Harapan (PH)  mempertikaikan sama ada bekas-bekas MB Selangor itu menjadi senjata atau beban kepada UMNO.

Namun apa bezanya dengan pakatan pembangkang itu sendiri yang kitar semula bekas pemimpin UMNO.- MalaysiaGazette

Comments are closed.