Home Ekonomi Penguatkuasaan LHDN bukan lemahkan kewangan parti politik

Penguatkuasaan LHDN bukan lemahkan kewangan parti politik

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini menyangkal dakwaan bahawa tindakan penguatkuasaan yang dijalankannya bertujuan melemahkan sumber kewangan kumpulan politik tertentu.

LHDN dalam kenyataan berkata, seperti amalan negara lain, sistem pemilihan kes untuk tindakan penguatkuasaan LHDN adalah berdasarkan kriteria dari sudut kegagalan mematuhi perundangan percukaian.

“LHDN juga tidak menyimpan maklumat kaum, agama apatah lagi kecenderungan politik individu dalam pangkalan datanya kerana maklumat sebegini tidak membantu penilaian risiko sesuatu kes,” demikian menurut kenyataan itu.

Pada masa sama maklumat individu atau syarikat yang dikenakan tindakan audit dan siasatan juga tidak didedahkan oleh LHDN kerana tertakluk kepada peruntukan kerahsiaan.

“LHDN amat menitikberatkan pelaksanaan tugas pada tahap profesionalisme dan integriti yang tinggi,” katanya.

Menurut kenyataan itu LHDN akan sentiasa memastikan agenda penguatkuasaan yang dilaksanakan menjurus kepada mewujudkan persekitaran yang adil kepada pembayar cukai yang sentiasa patuh dalam melaksanakan tanggungjawab mereka menyumbang untuk pembangunan negara. – MalaysiaGazette