Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Telefon bimbit adalah penyumbang utama kepada keruntuhan akhlak dan masalah sosial dalam kalangan pelajar Melayu di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.

Hal ini didedahkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang terlibat secara langsung dalam menemubual pelajar dan waris sama ada di luar atau dalam kawasan sekolah di Pulau Pinang.

Menurut pengasas NGO berkenaan yang mahu dikenali sebagai Usman, hasil maklumat dari responden yang ditemubual dan pengumpulan data tersebut menunjukkan punca utama berlaku kejutan sosial di luar jangkaan disebabkan telefon bimbit yang waris berikan kepada anak-anak mereka.

Katanya, hasil daripada pemberian itu, anak berumur 10 tahun sudah mempunyai akaun facebook, whatsapps, instagram, wechat dan lain-lain hubungan media maya.

“Dari fasiliti ini, 80 peratus anak-anak menyalahgunakan kemudahan itu dengan sebahagiannya mengakses gambar lucah dan lain-lain yang berunsur kepada pengodaman fikiran positif dan rasional.

“Dengan itu, mereka berpotensi melakukan perkara tersebut dengan hampir 90 peratus menunjukkan mereka cuba untuk melihat gambar lucah melalui telefon bimbit berkenaan.

“Paling malang hasil interview kami dengan beberapa ibu bapa mendapati, hampir 70 peratus daripada mereka tidak mampu mengawal pengunaan telefon oleh anak mereka dan gagal mengetahui apa yang dilakukannya dengan telefon berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Beliau yakin, anak yang beragama Islam zaman sekarang sudah dimomok dengan racun telefon bimbit sehingga ibubapa tidak menyedari kemudahan itu sebenarnya membunuh sosial kehidupan anak mereka.

Sehubungan itu, kata Usman, beliau telah mengemukakan beberapa nasihat kepada ibu bapa agar mengawal pengunaan telefon bimbit anak mereka dengan mengakseskan talian itu ke telefon mereka.

“Seboleh yang mungkin haramkan anak mempunyai facebook, dan wechat kerana dua akaun ini tidak ada manfaat kepada anak mereka berusia bawah 17 tahun.

“Jika hendak berkomunikasi, ibu bapa boleh membeli telefon bimbit yang tidak akses internet. Begitu juga jadualkan penggunaan telefon itu dan sentiasa melihat komunikasi anak di alam maya,” katanya.

Beliau juga meminta ibu bapa agar menyimpan telefom bimbit anak dan tidak membenarkan mereka menggunakan kata laluan pada alat telekomunikasi itu.

Usman turut menyenaraikan saranannya kepada ibu bapa bagi menggelak anak mereka daripada terjebak dalam kancah sosial dengan memastikan kegunaan komputer di rumah atau telefon mesti ditempat terbuka dan jangan membiarkan anak bersendirian dalam bilik dengan alat telekomunikasi itu boleh akses internet.

”Secara jujur saya nyatakan ini kerana saya sayangkan anak bangsa kita. Saya tidak sangup melihat anak bangsa saya menjadi kapsul perosak dalam negara kita, sedangkan bangsa lain telah jauh maju meningalkan anak kita.

“Kepada ibu bapa, bangunlah dan lihatlah di luar sana dalam akhbar memuatkan bagaimana gejala sosial yang menggila sehingga kita seperti hilang solusi untuk mengatasinya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette