Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bergambar kenangan bersama Pengerusi Pemodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar (kiri) selepas selesai membuat gimik perasmian pada Perasmian Fiesta Labur PNB 2017 di Aras Concourse, Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 28 SEPTEMBER 2017

PUTRAJAYA – Kadar celik kewangan yang terlalu rendah dalam kalangan rakyat Malaysia membimbangkan kerajaan.

Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara tersebut telah menyebabkan ramai orang menjadi mangsa kepada skim-skim pelaburan yang tidak sah dan merugikan.

“Bila kita tengok institusi berdaftar seperti Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan simpanan deposit tetap oleh bank-bank menawarkan sekitar empat hingga 6.5 peratus pulangan setahun mengikut kadar pasaran, bagaimana syarikat-syarikat pelaburan ataupun individu tersebut boleh menawarkan pulangan di antara 10 hingga 30 peratus setahun?

“Bila tidak celik kewangan apabila ada orang datang dan tawarkan pelaburan dengan pulangan 10 hingga 30 peratus sebulan, kita terus buat.

“Apabila kena tipu baru hendak membuat laporan kepada kerajaan kemudian salahkan kerajaan dan Bank Negara kerana kononnya tidak membuat pemantauan.

“Bagaimana kita hendak pantau? Sedangkan apabila dia membuat pelaburan tersebut, dia tidak pernah merujuk kepada kita (kerajaan dan Bank Negara),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Fiesta Labur PNB 2017 di sini hari ini.

Sambil memuji langkah PNB yang menganjurkan acara untuk mendidik orang ramai mengenai celik kewangan, Johari turut menasihatkan rakyat supaya sentiasa merujuk institusi-institusi pelaburan berdaftar sebelum membuat keputusan pelaburan.

“Boleh pergi kaunter Bank Negara, PNB, Tabung Haji dan KWSP untuk membuat pengesahan.

“Jangan cepat percaya terutama kepada pelaburan-pelaburan yang menawarkan pulangan yang sangat besar,” katanya lagi.-MalaysiaGazette