KUALA LUMPUR – Pelaburan Hartanah Bhd. (PBH) menyasarkan 500 juta unit baharu Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) habis dilanggan dalam tempoh lima hingga enam bulan selepas dilancarkan hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, sasaran itu adalah bersandarkan rekod lampau AHB terutama unit tambahan sebanyak 1.5 bilion unit yang dilancarkan pada April tahun lalu berjaya dilanggan dalam tempoh setahun.

“Unit-unit kami berjaya dilanggan dalam tempoh setahun sebelum ini maka saya menjangkakan untuk 500 juta unit baharu ini, ianya mungkin habis dilanggan dalam tempoh lima atau enam bulan.

“Kami juga mengadakan promosi dengan memberikan 50 unit tambahan percuma kepada 200,000 setiap Akaun Remaja baharu dibuka bermula Isnin ini dengan tempoh promosi selama tiga bulan atau sehingga dana tersebut habis dilanggan,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran 500 juta unit tambahan baharu AHB di sini hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Menteri Kewangan.

Jelas Kamalul Arifin, penambahan unit terbaharu itu merupakan hasil suntikan daripada dua aset terkini PHB iaitu Tower H, sebuah blok bangunan pejabat 18 tingkat yang terletak di Empire City, Petaling Jaya dan sebuah pusat membeli-belah lima tingkat yang terletak dalam pembangunan komersial bercampur di Empire Subang.

Tambah beliau, selain mengukuhkan kedudukan dalam memperolehi aset berkualiti, PHB turut menceburi bidang pembangunan hartanah di kawasan-kawasan strategik.

Setakat ini, PHB telah memiliki 1000 ekar bank tanah di seluruh Malaysia yang mana projek terbaharunya melibatkan pembangunan 19 ekar tanah di Jalan Bangsar yang bakal dibangunkan dengan tujuh menara pejabat dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM5 bilion.

“Ketika ini, kami sedang membina sebuah bangunan pejabat seluas 440 kaki persegi dengan GDV sebanyak RM500 juta dan dijangka siap menjelang 2021.

“Kami masih meneliti keadaan pasaran dan tidak mahu tergopoh-gapah di dalam membuat keputusan untuk membangunkan bangunan-bangunan lain di atas tanah tersebut dan sekiranya, pasaran mengizinkan barulah fasa-fasa pembangunan seterusnya akan dijalankan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette