Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak merancang untuk menaikkan mana-mana cukai dalam pembentangan Bajet 2018 kerana ia akan membebankan rakyat yang sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang melihat pelbagai pendekatan terbaik untuk mengurangkan kesan kenaikan kos itu.

“Rakyat sedang berhadapan dengan banyak tekanan, kita tidak ada rancangan untuk menaikkan mana-mana cukai,” kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis perasmian ‘GetCover, sebuah aplikasi insurans mudah alih motor di sini.

Bagaimanapun, pada masa sama kerajaan juga perlu melihat kemampuan pendapatannya.

Terdahulu, Johari berkata, asas ekonomi negara kekal kukuh dipacu oleh peningkatan eksport, nilai dagangan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar dan kestabilan harga minyak mentah dunia.

Menurutnya, setiap kali harga minyak mentah naik sebanyak AS$1 setong, pendapatan negara melonjak kira-kira RM300 juta.

Tetapi, kerajaan perlu mengambil kira faktor-faktor luaran termasuk ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat dan Korea Utara.

“Perkara-perkara ini mewujudkan ketidakstabilan khususnya dalam ekonomi serantau. Apatah lagi kedudukan kita berhampiran dengan Korea. – MalaysiaGazette