Home Ekonomi PNB tidak jual dua hartanah di London

PNB tidak jual dua hartanah di London

PUTRAJAYA – Permodalan Nasional Berhad (PNB) menolak dakwaan pihaknya akan menjual dua hartanah miliknya di London.

Ini kerana berdasarkan nilai pasaran aset-aset itu, PNB mampu meraih keuntungan pelaburan ekuiti lebih daripada 20 peratus setahun dalam kadar pulangan yang dipacu oleh peningkatan modal struktur pembiayaan efektif dan keuntungan mata wang.

“Selain itu, sebarang hasil yang diperoleh daripada pelupusan aset PNB perlu dilaburkan semula untuk pelaburan lain yang memenuhi kriteria ketat PNB.

“Bagaimanapun, strategi itu tertakluk kepada sebarang tawaran menarik dan memenuhi jangkaan PNB,” kata pengurus dana itu.

Dua hartanahnya ialah Milton & Milton Shire House (gambar) yang terletak di 1 Silk House, London dan 90 High Holborn di London WC1.

Dalam kenyataannya di sini, PNB berkata, pembelian bangunan-bangunan itu adalah strategi jangka panjang dalam kepelbagaian portfolio dan perluasan pasaran global.

Malah, aset-aset itu dibeli pada harga yang menarik mengambil kira keadaan pasaran dan pertukaran mata wang asing pada ketika itu, selain ia adalah aset-aset yang mempunyai tempoh sewa jangka panjang serta penyewa yang mempunyai reputasi.

PNB membuat kenyataan itu selepas Sarawak Report mendakwa PNB terdesak untuk menjual kedua-dua hartanahnya di London.

Aset-aset itu dibeli pada awal tahun 2012, sebahagiannya melalui pinjaman sebanyak 370 juta pound dengan kadar faedah di bawah 2.0 peratus. – MalaysiaGazette