Reaksi ceria sebahagian orang ramai yang hadir mendengar ceramah pada Himpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu. foto AFFAN FAUZI, 29 SEPTEMBER 2017.

KUALA TERENGGANU – Berakhirlah sudah Fastaqim 2.0 atau lebih dikenali sebagai Himpunan 200K yang diadakan selama dua hari di Pantai Tok Jembal, di sini, malam tadi.

Menurut penganjurnya, himpunan itu berjaya mengumpul kira-kira 200,000 orang dan membuktikan Pas makin mendapat sokongan dari pelbagai peringkat usia.

Sebelum Fastaqim 2.0 dimulakan, Pengerusinya, Nasrudin Hasan menggunakan pelbagai medium media untuk mempromosi dan menguar-uarkan program itu.

Harapan beliau hanya satu, iaitu supaya orang ramai dari seluruh pelosok tanah air tahu akan program himpunan yang akan diadakan di Kuala Terengganu.

Maka pelbagai helah sengaja digembar gemburkan dengan harapan ia menimbulkan tanda tanya dan keinginan orang ramai untuk hadir.

Ternyata mereka berjaya mempengaruhi media sehingga ramai wartawan terpedaya dengan ‘sikap baik’ penganjur untuk memberi liputan luas, hatta pada hari Fastaqim 2.0 bermula Jumaat pun promosi masih diteruskan.

Wartawan dijemput, jurugambar dipelawa hadir membuat liputan. Katanya, inilah satu-satunya program terbesar Pas yang diadakan secara santai.

Berpuluh-puluh wartawan dan jurugambar, termasuk dari Kuala Lumpur datang ke Fastaqim. Masing-masing menempah bilik hotel, walaupun penginapan terdekat sudah habis ditempah peserta himpunan.

Ada yang menyewa hotel agak jauh dari tapak program. Tidak mengapa, asalkan dapat memenuhi jemputan penganjur untuk membuat liputan.

Setiba di tapak program, ada beberapa khemah disediakan dan ditampal plakad tertulis “Unit Media”. Disangkakan wartawan boleh duduk di situ untuk membuat liputan.

Malangnya, wartawan diberitahu, khemah itu disediakan khusus untuk lidah rasmi Pas iaitu Harakah dan krew radio Hijau FM.

Untuk wartawan lain tidak disediakan khemah, kerusi atau meja. Mereka boleh memilih mana-mana tempat yang dikhususkan untuk hadirin, iaitu beralaskan pasir di sekeliling pentas utama.

Wartawan boleh pilih, sama ada hendak bersila atas pasir yang panas atau beli tikar yang dijual peniaga di situ sebagai alas.

Saya memilih untuk bertengek di atas batu yang menjadi hamparan banteng pemecah ombak di belakang pentas utama.

Saya duduk di situ dari pagi sampai ke tengah malam. Melunjurkan kaki sambil meriba komputer riba untuk mengetuk berita. Pihak urusetia atau penganjur langsung tidak bertanyakan khabar.

Pada malam kemuncak malam tadi, kami, wartawan dimaklumkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengumumkan perkara penting, atau dengan lain perkataan, amanat penting.

Saya menunggu dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam. Tidak ada apa-apa yang penting diumumkan oleh Abdul Hadi.

Adalah dua bekas pegawai kerajaan menyerahkan borang keahlian menyertai Pas. Itu bukan perkara penting bagi media kerana keluar masuk parti adalah perkara biasa, lebih-lebih lagi era sekarang. Ia bukan lagi suatu perkara yang luar biasa atau suatu yang mengejutkan.

Kehadiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim juga bukan suatu yang pelik. Beliau diberi peluang berucap dan kesempatan itu diambilnya untuk menjelaskan kepada hadirin, yang beliau kekal sebagai wakil rakyat bebas.

Jadi, mana perkara penting yang hendak disampaikan kepada rakyat? Memang patutlah, bermula dari jam 4 petang lagi sudah ramai berpusu-pusu pulang, selain ada yang baru sampai dengan berpuluh buah bas yang disewa khas.

Kalau penganjur beritahu, malam kedua dan terakhir adalah acara kemuncak yang ditunggu-tunggu, saya dapat rasakan, orang ramai yang masih berada di sekeliling pentas utama mula bergerak keluar dari lokasi itu.

Tanpa sempat mendengar amanat Presiden yang bermula selepas jam 11 malam, mereka seolah dapat menghidu tidak ada apa-apa yang penting bakal diumumkan. Justeru, mereka cabut awal.

Bahkan, Fastaqim 2.0 juga tidak lebih sebagai program mengutip derma sebenarnya. Berpuluh-puluh tabung disediakan dengan pelbagai nama untuk memancing orang ramai berderma.

Malah, ada seorang pengacara majlis, dengan turut kata yang enak, berjaya menarik minat orang ramai mengeluarkan duit dari poket dan tas untuk didermakan.

Kata-katanya, “Wahai muslimin dan muslimat. Masukkan tangan anda ke dalam poket..masukkan tangan anda ke dalam beg (tas)… tariklah sebanyak mungkin kertas yang ada..jangan tengok, jangan kira..masukkan kesemua dalam bekas yang akan dibawa oleh petugas kami kepada anda nanti”.

Kemudian seorang penceramah terkenal turut berkempen supaya orang ramai menderma. Beliau berkata, “Kita makan enak-enak, tak sampai lima minit makanan itu bertukar kepada satu warna (maksudnya, tahi)… kita minum sedap-sedap, tidak sampai lima minit minuman itu bertukar warna kuning (air kencing). Tapi duit yang anda derma tidak pernah bertukar. Ia akan menjadi pahala di akhirat”.

Ceramah dan kutip derma ini sudah sinonim atau sebati dengan Pas. Tidak ada Pas, tidak adalah kutipan derma. – MalaysiaGazette

6 Komen

  1. biasa lah jadi wartawan . kena tipu kena halau asam garam dalam tugas . itu pun pahala juga kata pas

  2. Fastaqim 2.0 menyaksikan ribuan pemungut derma bergerak ke seluruh pelusuk tapak program mencari para dermawan untuk mendapatkan sumbangan atau infaq ikhlas drp mereka. Kami para peserta pula berbesar hati untuk menyampaikan sumbangan dengan niat mencari redha Allah.

    Kami adalah parti yang diajar bahawa sumbangan kami adalah derma jihad. Derma kami bukan rasuah jahat. Ada parti yang hidup bergantung dengan hasil rasuah. Sebarang gerak kerja aktiviti mereka dibiayai oleh wang hasil rasuah. Rasuah sudah membarah dalam parti mereka hinggakan mereka sakit hati bila melihat setiap program PAS tidak sunyi daripada kutipan derma. Bagi mereka derma adalah perkara keji yang mesti dibanteras sdangkan Allah melaknat golongan pemberi dan penerima rasuah. Kedua2 pihak pemberi dan penerima rasuah di neraka.

    Jangan melarang kerja2 yang mulia.Mohon admin bijak dalam menyampaikan berita..

  3. As salam dan salam sejahtera. Saya bersetuju dgn pandangan Sdr Abi Faiz tu. Sebagai umat Islam yg teguh aqidahnya, sedekah dan derma itu merupakan salah satu jalan kebajikan yg tinggi nilai pahalanya di sisi Allah SWT. Mereka yg sedang menunggu di alam Barzakh (alam kubur) sekarang ini kalau ditanya, apakah amalan yg paling utama mereka hendak lakukan jika diberi peluang untuk hidup sebentar di dunia kali kedua, mereka pasti tentu menjawab ‘mahu bersedekah @ menderma seluruh harta yg mereka ada. Ini kerana mereka telah melihat dengan nyata besarnya pahala dan ganjaran sedekah @ derma di alam kubur. Wallahu a’lam.

Comments are closed.