KUALA LUMPUR  – Pemaju rumah mampu milik, DBI Technology telah menghentikan serta-merta promosi rumah berharga RM50,000 dalam usaha menyemak semula dan melakukan penambahbaikan dalam operasi perniagaan syarikat.

Pengurus Besarnya, Ramlan A. Rahman berkata, harga yang ditawarkan kini kembali ke harga asal iaitu RM150,000.

Beliau memberi jaminan syarikat itu akan menerus visi untuk terus membantu orang ramai memiliki rumah sendiri.

“Orang ramai kena kena ingat, promosi rumah RM50,000 hanya untuk bina bangunan rumah dan pintu serta tingkap yang kos rendah selain kuotanya telah pun penuh.

“Namun untuk meratakan tanah dan tapak rumah dan perparitan, kos ditanggung oleh pembeli.

“Sebenarnya konsep Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang digunakan syarikat tidak memerlukan kos yang tinggi dan cepat disiapkan.

“Sebab itu DBI Technology mampu menawarkan harga yang murah sebelum ini. Sebenarnya harga rumah yang mahal pada hari ini kerana harga tanah yang melambung tinggi.

“Namun sebagai ketelusan kepada orang ramai, kami telah menghentikan harga promosi RM50,000 dengan serta-merta bagi menggambarkan ketelusan perniagaan syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media tertutup bersama media dan pembeli serta majlis penyerahan kunci rumah kepada lapan pembeli.

Selasa lalu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tampil sebagai orang tengah untuk membantu pengadu berhubung dakwaan penipuan skim jualan rumah yang antara lain mengaitkan nama pelakon iaitu Boy Iman yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, DBI Technology.

Sementara itu, DBI Technology merupakan syarikat yang ditubuhkan Boy Iman selepas meninggalkan DBI Properties iaitu syarikat yang pernah menjadi ejen pemasaran kepada pemaju yang disyaki bertanggungjawab menawarkan mini banglo berharga RM60,000 iaitu Juta Kelulut Global Sdn. Bhd..

Di bawah DBI Technology ketika ini, Ramlan memberitahu, syarikatnya sedang menyiapkan hampir 100 unit rumah pembeli sejak awal tahun ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 15 unit sudah siap dan penyerahan kunci rumah dibuat secara berperingkat.

“DBI Technology juga bakal memiliki kilang batu IBS sendiri sebagai pengeluar bahan itu yang akan mula beroperasi dalam masa dua bulan akan datang.

“Usaha memiliki kilang sendiri itu bagi membuktikan keseriusan syarikat untuk menjadi peneraju rumah mampu milik dan telus dalam menjalankan operasi perniagaan pada akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette