KUALA LUMPUR – Pakar ekonomi menjangkakan kerajaan tetap perlu menyediakan peruntukan pengurusan yang besar untuk membayar gaji penjawat awam dan menyediakan subsidi.
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosial Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie menjangkakan nisbah perbelanjaan pengurusan dengan pembangunan tidak akan mengalami perubahan besar.
“Secara umumnya, perbelanjaan pengurusan akan menyumbang sekurang-kurangnya 80 peratus dalam jumlah perbelanjaan, saya percaya perubahan yang besar tidak akan mengambil tempat.
“Keadaan ini berlaku kerana kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang besar untuk menampung gaji dan pencen penjawat awam serta menyediakan subsidi untuk rakyat,” katanya kepada Nanyang Siang Pau.
Beliau menjelaskan, daripada pelbagai jenis perbelanjaan pengurusan kerajaan, hanya perbelanjaan untuk subsidi mengalami penambahbaikan melalui rasionalisasi subsidi bahan bakar.
Katanya, kerajaan bagaimanapun masih perlu menyediakan subsidi untuk aspek lain walaupun tidak lagi menanggung subsidi untuk bahan api.
Menurutnya, kerajaan boleh menjimatkan perbelanjaan dengan mengurangkan jumlah penjawat awam, tetapi kerajaan sejak permulaan telah bertegas supaya tidak mengurangkan jumlah kakitangan sektor awam.
“Satu pertiga perbelanjaan pengurusan telah digunakan untuk menampung gaji penjawat awam, ini termasuk pencen mereka,” katanya.
Mengenai perbelanjaan pembangunan pula, Heng Guie berkata, kebanyakan perbelanjaan sejak dua tahun lalu tertumpu kepada pembangunan infrastruktur bandar dan pembinaan jalan raya di kawasan pedalaman.
Pakar ekonomi RHB, Vincent Loo pula berpendapat, kerajaan akan menambah peruntukan pembangunan dalam usahanya mengejar matlamat Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
Katanya, kerajaan menjangkakan pemberian peruntukan RM260 bilion dalam tempoh 2016 hingga 2020 untuk tujuan pembangunan, tetapi hanya RM91 bilion telah diperuntukkan pada 2016 dan 2017.
Penganalisis secara umumnya berpendapat kerajaan mempunyai ruang perbelanjaan yang lebih tinggi dengan kestabilan harga minyak global yang membantu prestasi Petronas.
Hasil kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga akan membantu kerajaan.
“Walaupun begitu, kadar GST tidak akan diselaraskan dalam bajet akan datang.
“GST hanya dilaksanakan pada 2015 dan ia perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga tahun. Adalah lebih sesuai jika kadar berkenaan diselaraskan pada 2020,” kata Heng Guie. – MalaysiaGazette