Home Nasional Reman Boy Iman, dua individu disambung

Reman Boy Iman, dua individu disambung

Datuk Boy Iman foto AFFAN FAUZI, 09 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Tiga suspek yang terlibat dalam penipuan projek perumahan membabitkan kerugian RM6.2 juta akan ditahan reman esok selepas dibebaskan 6 petang tadi.

Mereka akan dibawa ke Nilai dan Muar untuk siasatan lanjut.

Salah seorang suspek, Datuk Norul Iman A. Rahman merupakan seorang pelakon yang juga Pengarah Urusan DBI Properties.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kesemua mereka akan direman pada Khamis, yang mana perintah tahanan untuk Boy Iman akan dipohon di Muar manakala dua lagi suspek di Nilai.

Menurut Acryl Sani, jumlah laporan polis berhubung kes penipuan DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resouces (Juta Kelulut) itu bertambah daripada 188 kepada 201.

Laporan polis terhadap kes itu dibuat di seluruh negara.

Beliau menambah, Boy Iman akan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Muar (IPD) untuk direman bagi siasatan lanjut.

Acryl berkata, polis akan memanggil beberapa lagi individu untuk membantu siasatan.

Kesemua suspek yang berusia antara 29 hingga 45 tahun direman selama dua hari bermula Selasa untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, pembeli-pembeli projek berkenaan mendakwa syarikat-syarikat tersebut telah menawarkan rumah banglo pada harga sekitar RM60,000.

Bagaimanapun, projek itu gagal disiapkan meskipun bayaran telah dibuat.

Polis yang menahan suspek-suspek berkenaan pada Selasa lalu turut merampas sebuah kereta Nissan Fairlady, sebuah kereta BMW E92, 3 unit telefon bimbit, sijil doktor falsafah daripada Samaritan Mission International University dan pelbagai dokumen syarikat DBI Properties.

Dalam tangkapan kedua, polis merampas dua unit telefon bimbit dan pelbagai dokumen Juta Kelulut. – MalaysiaGazette