KUALA LUMPUR – Pemergian Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd, Datuk Maznah Hamid yang meninggal dunia petang hari ini bukan sahaja dirasai oleh ahli keluarga beliau namun, turut dirasai oleh seluruh ahli UMNO.

“Kami rasa bukan hanya keluarga Allahyarhamah yang rasa kehilangan beliau, Wanita UMNO dan UMNO amnya turut rasa kehilangan beliau. Beliau telah banyak memberikan sumbangan bukan sahaja di peringkat Kedah dan nasional juga beliau memberi sumbangan.”

Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui pemberita di kediaman Allahyarhamah Maznah Hamid sebentar tadi.

Tambah Zahid, beliau yang mengenali Maznah ketika bersama dengan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) suatu ketika dahulu, mengenali tokoh tersebut sebagai pakar motivasi yang banyak memberi sumbanagn dalam bidang keusahawanan di negara ini.

“Beliau merupakan seorang pakar motivasi yang memberi semangat bukan saja kepada anak muda yang mahu jadi usahawan tapi juga mereka yang menjadi pemangkin kepada gerakan kesedaran dibawa beliau.”

Maznah dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.10 petang tadi setelah berada dalam keadaan kritikal selama lima hari.

Perkarangan rumahnya mulai dipenuhi pelbagai lapisan masyarakat untuk memberi penghormatan kepadanya. -MalaysiaGazette