Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

PUTRAJAYA – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dianggap telah membuat keputusan yang tidak Islamik apabila membenarkan penganjuran pesta arak Oktoberfest diadakan di Selangor.

Malah, menteri besar Selangor itu disifatkan ‘besar kepala’ apabila tidak mahu mendengar nasihat pihak berkuasa berhubung implikasi yang akan berlaku sekiranya pesta itu tetap diadakan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

“Itulah sebabnya apabila ada Menteri Besar orang yang berkuasa, pemimpin tidak menghayati apa yang diperintahkan Allah S.W.T di dalam al-Quran.

“Jadi orang-orang yang kurang arif ini ikut sajalah. Sebab itu penting pemimpin menunjukkan cara yang betul. Sekarang sudah jadi masalah timbul ketidakharmonian bukan sahaja orang Islam tapi kepada bukan Islam,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Tilawah al-Quran Peladang peringkat Kebangsaan kali ke-5 di Wisma Tani di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Seri Saipolbahari Suib.

Tajuddin berkata demikian ketika ditanya pandangannya berhubung penganjuran pesta arak Oktoberfest yang akan berlangsung esok sehigga 7 Oktober di Klang selepas mendapat kebenaran kerajaan negeri Selangor.

Mengulas lanjut, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, keputusan Azmin yang membenarkan pesta arak itu diadakan telah menimbulkan ketidak harmonian antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

Dengan memberikan contoh insiden di Las Vegas sehingga berlakunya kejadian tembak menembak gara-gara peserta mabuk hingga menyebabkan kematian baru-baru ini, kejadian buruk seperti itu boleh berlaku sekiranya peserta pesta terbabit tidak boleh mengawal diri ketika berada dibawah pengaruh alkohol.

“Pihak berkuasa telah bagi nasihat, dia menentang apa yang telah diberitahu, ini tidak Islamik. Orang tak faham macam nilah. Janganlah nak tunjuk besar kepala.

“Sebelum ia berlaku lebih baik kita elakkan, jangan nanti bila dah berlaku baru nak kata itu dan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.