Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos memecahkan berkotak-kotak minuman keras di sebagai tanda bantahan Pesta Arak 2017 pintu pagar pekarangan Ibu Pejabat Kerajaan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengesahkan pihak polis telah menghubungi beliau untuk tampil memberikan kenyataan berhubung sidang media yang dibuatnya di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam hari ini.

Walau bagaimanapun, menurutnya, beliau tidak dapat berbuat demikian berikutan terpaksa menghadiri mesyuarat di luar kawasan.

“Polis sudah panggil saya untuk diambil keterangan. Pada saya tiada keperluan untuk saya dipanggil sebab hanya sidang media biasa saya lakukan siang tadi. Berkenaan botol itu, itu cuma gimik biasa protes terhadap penganjuran pesta arak di negeri ini(Selangor).

“Pada saya, tak ada masalah untuk panggil saya (ambil keterangan) cuma tak dapat luang masa sebab mesyuarat. Polis nak siasat saya, saya bukan buat rusuhan pun, saya hadir cuma bersama rakan-rakan beberapa orang, bukan bawa ribuan orang macam tunjuk perasaan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Tambah Jamal, pihak yang sepatutnya disiasat oleh pihak polis dan SPRM adalah daripada pihak penganjur dan pihak kerajaan negeri yang membenarkan pesta tersebut diadakan.

Ia kerana menurutnya, kemungkinan besar terdapat unsur-unsur rasuah dalam penganjuran pesta arak di negeri Selangor yang melibatkan syarikat pengurusan majlis dengan pihak kerajaan negeri.

Justeru, tambahnya, sikap kerajaan negeri yang tidak mempedulikan bantahan pelbagai lapisan dan golongan masyarakat negeri ini dipercayai berpunca daripada tekanan yang dibuat oleh pihak penganjur yang kemungkinan sudah pun menyalurkan jutaan ringgit modal pengannjuran kepada kerajaan negeri.

“Saya berjumpa dengan masyarakat Cina dan India, mereka pun tidak setuu dengan penganjuran pesta arak ini kerana boleh mendatangkan pelbagai gejala sosial. Pada mereka, kalau nak mabuk-mabuk, tak perlu anjur program seperti ini, boleh minum arak di tempat tertutup atau rumah saja.

“Saya yakin, orang politik di Selangor beria-ia mempromosikan pesta ini kerana jutaan ringgit sudah diterima. Tanda tangan untuk kontrak penganjuran sudah dibuat, selain Azmin Ali dan DAP sengaja menaikkan isu ini untuk naikkan kemarahan orang India dan Cina.

“Saya menggesa agar pihak PDRM dan SPRM membuat siasatan terhadap kerajaan negeri dan orang-orang politik yang beria-ia mempromosikan penganjuran pesta arak ini.” -MalaysiaGazette