Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyerahkan biasiswa kepada Pelajar, Yazmin Sofia Hasan sambil diiringi Pengasas Yayasan Jeffry Cheah, Tan Sri Jeffry Cheah Ao pada Majlis Anugerah dan Penyerahan Biasiswa Yayasan Jeffrey Cheah (JFC) Sunway College & University di Kolej Sunway, Selangor.

PETALING JAYA – Kerajaan akan menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini didorong oleh perkembangan positif ekonomi Malaysia.

Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, hampir kesemua sektor menunjukkan pertumbuhan positif selain harga minyak mentah yang semakin pulih menyebabkan kedudukan ekonomi negara bertambah baik.

Beberapa badan antarabangsa termasuk Bank Dunia turut melakukan semakan menaik KDNK Malaysia.

“Kerajaan akan menyemak semula KDNK negara memandangkan momentum pertumbuhan adalah baik, kesemua sektor juga positif dan harga minyak yang semakin pulih.

“Unjuran baharu akan diumumkan Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2018, nanti,” katanya semasa sidang media selepas menyampaikan sijil biasiswa Yayasan Jeffrey Cheah di sini petang tadi.

Pada awal tahun ini, kerajaan mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang di antara empatĀ  hingga lima peratus pada tahun ini dan mengekalkan ramalan tersebut meskipun banyak badan antarabangsa dan firma penarafan telah melakukan semakan menaik sejak beberapa bulan lalu. -MalaysiaGazette