Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bercakap kepada media ketika membuat lawatan kerja ke Pangsapuri Taman Puchong Permai di Puchong, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 05 OKTOBER 2017
PUCHONG – Berita baik buat mangsa-mangsa penipuan oleh syarikat DBI Properties yang didakwa terbabit dalam skim perumahan mampu milik baru-baru ini.

Mereka mungkin layak diberikan bantuan khas sehingga RM60,000 setiap seorang melalui Skim Pinjaman Perumahan (SPP) bagi meringankan beban mereka.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, mangsa-mangsa penipuan itu layak memohon Skim Pinjaman Perumahan di bawah kementeriannya dengan syarat memiliki tanah sendiri.

“Kalau mangsa ini ada tanah, kita boleh bantu membuat rumah SPP di mana di bawah KPKT, kita ada peruntukan untuk membuat sebuah rumah bernilai sehingga RM60,000.

“Mangsa boleh memohon kepada KPKT untuk kita memberikan kelulusan membuat rumah kerana mereka sudah kena tipu, duit sudah habis (ditipu) tapi rumah tiada, jadi kita boleh bagi skim SPP,” katanya pada sidang media selepas melawat pangsapuri Taman Puchong Permai petang tadi.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (duduk, tengah) bercakap kepada media ketika membuat lawatan kerja ke Pangsapuri Taman Puchong Permai di Puchong, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 05 OKTOBER 2017
Hadir sama Koordinator Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang, Datuk Dr. Mohamed Satim Diman.

Noh juga berkata, bagi mangsa-mangsa yang tinggal di bandar dan masih tidak memilik kediaman serta tanah sendiri, mereka pula boleh memohon kepada Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah kementeriannya.

“Bagi mereka yang tinggal dalam bandar, yang mungkin tiada rumah, tiada tanah, mereka boleh memohon PPR, kalau di Lembah Klang kita ada rumah di Kepong, Lembah Subang 2 dan di beberapa tempat seperti di Johor.

“Mereka boleh memohon dan kita akan lihat untuk memberikan bantuan di atas mangsa-mangsa yang telah ditipu oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.