Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (tengah) menunjukkan barang-barang rampasan setelah berjaya menumpaskan sindiket yang menjalankan kegiatan cetak rompak pada sidang media di Menara 238, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Biasanya pada pandangan umum kegiatan jualan cetak rompak seolah sudah pupus sejak kebelakangan ini.

Tetapi andaian kita mungkin salah kerana rupa-rupanya kegiatan pengedaran dan penjualan cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak haram masih berleluasa.

Modus operandi sindiket yang terlibat termasuk mengedar filem-filem lucah itu secara sembunyi di kawasan-kawasan bukan tumpuan ramai di sekitar Lembah Klang dan ibu kota.

Bagaimanapun, kegiatan mereka akhirnya tumpas dengan tindakan Polis Diraja Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, bertindak atas risikan, pihaknya telah melancarkan operasi di sekitar Lembah Klang dan Selangor pada 2 Oktober lalu.

“Lima lokasi pusat sindiket aktif telah diserbu dan seramai lima orang berusia lingkungan 35 tahun hingga 48 tahun telah ditangkap.

“Hasil serbuan polis berjaya merampas 100,668 keping DVD dan VCD cetak rompak termasuk 10,000 CD lagu tanpa sijil B dan 23 buah mesin bunner dan lima telefon bimbit pelbagai jenama milik suspek.

“Hasil siasatan awal, sindiket ini mengeluarkan 1,000 CD cetak rompak sehari dengan setiap keping dijual pada harga RM8 manakala jenis Blue Ray berharga RM20 sekeping,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Acryl Sany, siasatan lanjut polis juga mendapati aktiviti sindiket itu bukan sahaja tertumpu di sekitar Lembah Klang malah turut membekalnya ke Johor, Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, modus operandi sindiket itu ialah mendapatkan cakera padat kosong dari syarikat pembekal dan memproses cakera berkenaan tanpa sijil B di sebuah rumah teres bertempat di ibu negara.

Antara barang-barang yang dirampas setelah berjaya menumpaskan sindiket yang menjalankan kegiatan cetak rompak di Menara 238, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OKTOBER 2017

“VCD tanpa sijil B ini disimpan di beberapa buah rumah yang dijadikan penyimpanan dan tempat pembungkusan sebelum diedarkan kepada kedai menjual dan peniaga pasar – pasar malam.

“Penghantaran DVD tanpa sijil B adalah mengikut permintaan pelanggan dan pembayaran untuk CD cetak rompak ini dilakukan secara perbankan dalam talian dan serahan tangan setelah VCD itu selamat disampaikan kepada klien atau penjual menerusi penghantaran dengan khidmat kurier dan kenderaan darat.

“Sindiket ini beroperasi sejak awal tahun ini dan pergerakannya mensasarkan pasaran luar bandar mengelak dihidu pihak berkuasa selama ini,” katanya.

Kesemua suspek tangkapan akan disiasat dibawah tiga seksyen berbeza iaitu Seksyen 6 (1) Akta Penapisan Filem 2002 kerana memiliki VCD/DVD yang tidak mempunyai sijil B, Seksyen 11 (2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 18 (4) Akta Penapisan Filem 2002.- MalaysiaGazette