KUALA LUMPUR – Kes pelakon, Datuk Boy Iman yang kini ditahan reman kerana melibatkan penipuan rumah mampu milik telah memalukan martabat institusi ayahanda di negara ini.

Gelaran ayahanda bukannya sesuatu yang baharu dalam gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Presiden Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Datuk Abdul Halim Ali menegaskan, apa yang berlaku telah menjejaskan etika gelaran ayahanda yang dipandang tinggi oleh ahli pertubuhan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, pihaknya tidak mempunyai masalah dengan mana-mana NGO yang ingin mengurniakan gelaran ayahanda kepada individu tertentu.

“Apa yang berlaku kepada Boy Iman yang memiliki gelaran ayahanda telah memalukan institusi dan tidak bertanggungjawab.

“Kes beliau telah merosakkan nama dan etika ayahanda. Justeru, Permas telah menolak individu yang memiliki gelaran ayahanda melakukan aktiviti yang bertentang dengan etika ayahanda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas Ketua-Ketua NGO naungan Permas peringkat Malaysia di sini hari ini.

Seramai 200 ahli NGO tersebut hadir pada mesyuarat yang membincangkan Simposium Himpunan Melayu – Tak Kan Melayu Hilang Di Dunia pada November ini.

Sementara itu, Boy Iman atau nama sebenar, Noruliman A. Rahman semalam ditahan reman tiga hari lagi di Shah Alam berkaitan kes penipuan melibatkan RM6.2 juta.

Pengarah Urusan DBI Properties sebelum ini direman di Muar dan Kuala Lumpur berhubung siasatan kes yang sama.

Tindakan reman dibuat susulan aduan polis di Sungai Buloh, Selangor.

Turut direman tiga pengarah syarikat Juta Kelulut Global Resources, berumur antara 30 hingga 45 tahun, mengikut seksyen yang sama.

Pada Khamis lalu, Mahkamah Majistret Muar memerintah Boy Iman, 37, direman dua hari.

Polis menyiasat dakwaan penipuan jualan rumah murah membabitkan mangsa di Negeri Sembilan, Johor dan Selangor.

Polis menerima 200 aduan berkaitan penipuan jualan rumah dengan harga RM60,000 untuk keluasan 1,650 kaki persegi. – MalaysiaGazette