Rohani Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Sesi kaunseling dan kursus keibubapaan mungkin diwajibkan kepada ibu bapa yang terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak.

Ini susulan peningkatan kes penderaan kanak-kanak oleh ibu bapa sendiri kebelakangan ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, sesi kaunseling dan kursus tersebut boleh dibuat selepas ibu bapa berkenaan habis menjalani hukuman mahkamah.

“Dengan sesi kaunseling dan kursus keibubapaan ini, saya harap kes penderaan kanak-kanak tidak berulang dan semoga ia menjadi pengajaran kepada ibu bapa.

“Ia menguatkan tekad saya untuk turun padang untuk mengadakan ceramah dan saya mahu mewajibkan kursus tersebut,” kataya selepas merasmikan Program Larian Amal Pink Wig-A-Thon 2017 anjuran Pink Ribbon Wellness Foundation di Taman Botani Perdana, di sini hari ini.

Rohani merujuk kepada kes penderaan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang dirantai pada tong gas di sebuah rumah di Bandar Indera Mahkota, Kuantan yang dilaporkan media baru-baru ini.

Susulan kes itu, seorang anggota tentera berusia 32 tahun dan isterinya berusia 37 tahun yang merupakan ibu kandung mangsa, ditahan reman selama enam hari bermula 6 Oktober.

Sementara itu, Rohani berkata kanser payu dara masih menjadi pembunuh nombor satu dalam kalangan wanita.

“Jadi program larian amal ini bertujuan memberi kesedaran mengenai penyakit itu dan kepentingan membuat saringan awal bersempena Oktober sebagai bulan kesedaran kanser payu dara,” katanya.

Program dwitahunan kali kedua itu disertai kira-kira 2,500 orang yang memakai rambut palsu berwarna merah jambu sebagai tanda sokongan terhadap penghidap kanser payu dara. – MalaysiaGazette