Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR –  Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai, Lembah Subang masih lagi diselenggarakan oleh kerajaan Selangor melalui Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad.

Beliau berkata, walaupun Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendakwa telah mengambil alih PPR itu, tetapi kerja pembersihan masih dilakukan oleh MBPJ.

Katanya, terdapat lapan blok di PPR itu dan empat pekerja telah ditugaskan untuk membersihkan setiap hari.

“Seorang pekerja akan membersihkan tingkat bawah seperti longkang sementara tiga pekerja di tingkat atas.

“MBPJ mempunyai pejabat di Blok D yang diuruskan empat kakitangan yang bertanggungjawab menerima aduan dan bayaran sewa dari penduduk,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Iskandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka berkata, pejabat itu dibuka dari hari Isnin hingga Jumaat pada jam 8 pagi hingga 5 petang dan diuruskan seorang Penolong Jurutera.

Ujar beliau, sementara lif masih diselenggara oleh dua syarikat yang dilantik MBPJ dan ketika ini pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan memastikan terdapat sekurang-kurangnya satu lif berfungsi bagi setiap blok.

“Penyelenggaraan kerja mekanikal dan elektrikal ini diuruskan oleh Jabatan Kejuruteraan MBPJ.

“Terdapat juga seorang pengawal keselamatan bagi setiap blok yang disediakan oleh MBPJ.

“Dalam lawatan saya 5 Oktober lalu, saya telah menegaskan PPR tersebut masih di bawah MBPJ, maka penduduk perlu membayar sewa kepada MBPJ, bukan KPKT,” katanya.

Kata beliau, jika penduduk membayar kepada KPKT dan kutipan sewa oleh MBPJ tidak mencukupi untuk menanggung kos penyelenggaran, penghuni di situ akan berhadapan dengan masalah kerana KPKT tidak akan melakukan penyelenggaraan.

Selain dari menguruskan penyelenggaraan PPR itu, katanya, MBPJ juga menggerakkan program komuniti melalui Pusat Aktiviti Penjanaan Pendapatan Komuniti Bandar (PPKB) di PPR berkenaan.

“Antara programnya ialah menjahit apron dan beg dari kain rentang terpakai dan membuat serta menjual kuih pau,” ujarnya. – MalaysiaGazette