KUALA LUMPUR –  Teater Bahara Emas yang bakal dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 19 Oktober ini selama empat hari tidak menyindir mana-mana pemimpin yang bersih daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Penerbit teater tersebut, Siti Rohayah Attan menjelaskan, mesej pementasan teater anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu hanya ditujukan kepada pemimpin yang mengamalkan gejala terkutuk itu sahaja.

Menerusi syarikatnya iaitu CTRA Production, Bahara Emas turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Istana Budaya dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Ia memaparkan sisi negatif gejala rasuah, salah guna kuasa dan tamak sehingga menyebabkan kejatuhan sebuah empayar hebat kepada kuasa asing.

“Teater ini memang menyindir pemimpin yang mengambil rasuah dan mengamalkan salah guna kuasa sahaja. Bagi pemimpin yang bersih, tiada masalah dan tidak akan terasa apa-apa.

“Yang penting tiket pementasan teater yang diberikan secara percuma mendapat sambutan luar biasa sehingga terdapat mereka yang perlu berada dalam senarai menunggu,” katanya.

Beliau berkata demikian majlis pratonton teater Bahara Emas di DBP di sini petang tadi.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Sementara itu,  pengarah teater itu, Siti Rosminah Tahir yang juga bertindak selaku penulis skrip memberitahu semua pelakon yang dipilih dalam teater itu disaring terlebih dahulu dan bebas daripada gejala rasuah.

Katanya, saringan itu perlu dibuat kerana mereka seramai 40 orang akan bekerja dengan SPRM. – MalaysiaGazette