Home Politik Hamidah bebas dari belenggu politik

Hamidah bebas dari belenggu politik

Hamidah Osman

KUALA LUMPUR – “Alhamdulillah, Allah lorongkan hati saya untuk buat keputusan keluar daripada menjadi ahli dalam parti politik dan kini tidak berada dalam mana-mana parti politik,” kata bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Osman.

Katanya, selepas keluar dari parti itu pertengahan September lalu, beliau tidak lagi dibelenggu dengan masalah dan kerenah politik.

“Sekarang saya sudah bebas. Saya bukan lagi berada dalam mana-mana parti politik. Ini memudahkan saya membuat keputusan untuk memilih atau menyokong apa saja yang saya rasa benar serta menentang yang batil,” katanya dalam akaun Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, Hamidah, bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Gopeng bertanya, bilakah semua yang terlibat dalam politik kepartian dapat berpolitik secara matang dan rasional.

“Saya tengok kita kini terlalu mengamalkan politik ekstrem dan taasub sehingga cuma kerana kita berada dalam parti itu apa saja yang dibuat oleh pemimpin dan parti yang kita anggotai itu betul dan apa juga yang sebelah parti lawan itu semua tidak betul,” ulasnya.

Beberapa nama besar yang turut keluar PPBM selain Hamidah ialah Tan Sri Khairuddin Abu Hassan, Kamarulzaman Habibur Rahman, Hamizura Osman dan Anina Saaduddin. – MalaysiaGazette

Comments are closed.