Home Utama ‘Ini semua ujian Allah’ – Zakaria

‘Ini semua ujian Allah’ – Zakaria

Zakaria Arshad

KUALA LUMPUR – Datuk Zakaria Arshad menganggap krisis yang membabitkan beliau merupakan ujian Allah untuk menguatkan lagi semangatnya terus berkhidmat dengan Felda Global Ventures (FGV) Holdings Berhad.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV itu turut mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli lembaga pengarah FGV dan semua pihak yang memberi sokongan sepanjang krisis berkenaan.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih di atas keputusan yang dibuat oleh Menteri Kewangan selaku pemegang saham khas FGV untuk mengekalkan saya sebagai presiden dan CEO Kumpulan,” katanya dalam reaksi pertama selepas diumumkan akan kembali bertugas pada 16 Oktober ini.

Beliau akan terus komited untuk meneruskan Pelan Strategik 2020 bagi memulihkan semula prestasi Kumpulan FGV selari dengan matlamat yang ditetapkan oleh Datuk Azhar Abdul Hamid selaku pengerusi entiti tersebut.

Zakaria melalui episod berliku di FGV selepas digantung tugas berkuat kuasa serta-merta pada 6 Jun lalu.

Turut digantung ialah Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tilfi Mohd Talha dan dua lagi pengurusan anak syarikatnya – Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim

Arahan surat gantung tugas tersebut ditandatangani oleh Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang menjadi pengerusi FGV ketika itu selepas hasil siasatan PricewaterhouseCooper (PwC) terhadap urus niaga dalam Delima Oil yang merupakan anak syarikat FGV.

Alasannya, tindakan tersebut membolehkan FGV menyiasat berhubung hutang tertunggak Safitex Trading LLC kepada Delima Oil Products Sdn. Bhd. bernilai RM50 juta.

Tindakan Mohd Isa itu tidak dapat diterima oleh Zakaria lalu dipersoalkannya.

Kemelut itu mendapat perhatian kerajaan dan mengarahkan Datuk Seri Idris Jala menjadi orang tengah bagi mencari jalan penyelesaian.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam syarikat tersebut.

Mohd. Isa pula melepaskan jawatannya pada 19 Jun selepas dilantik sebagai pengerusi dan pengarah eksekutif bukan bebas FGV pada 1 Januari, 2011. – MalaysiaGazette

Zakaria kembali sambung tugas di FGV