Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Seri Saipolbahari Suib (dua kiri) menyerahkan dokumen Ikrar Bebas Rasuah yang ditandatanganinya kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil (tiga kiri) pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah yang dihadiri 310 warga kerja NAFAS di Ibupejabat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Kota Damansara, Petaling Jaya. foto SAFWAN MANSOR, 09 OKTOBER 2017

PETALING JAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) akan menubuhkan jabatan integriti untuk memelihara integriti dan kebertanggungjawaban ahli dan kakitangannya di seluruh negara.

Langkah itu juga akan memantau kira-kira sejuta ahli dan kakitangan Nafas supaya berkhidmat dengan telus dan beretika tanpa terperangkap dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Pengerusi Nafas, Datuk Seri Saipol Bahari Suib berkata, jabatan integriti itu sedang dalam peringkat perancangan akhir dan akan berkuatkuasa  pada tahun 2018.

Ujar beliau, pihaknya sentiasa memberi sokongan penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha mengurustadbir untuk menambah baik sumber sedia ada bagi mengoptimumkan dana awam untuk mengelak ketirisan dan penyelewengan syarikat.

“Kita ada sekitar sejuta ahli menerusi 287 peladang dibawah 14 pertubuhan dalam Nafas  yang akan dipastikan beramanah dan penuh bertanggungjawab dalam perkhidmatan mereka..

“Sebagai menzahirkan komitmen kami, kami menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang merupakan platform menunjukkan segala program Nafas adalah telus dan berintergriti.

“Ini usaha kelestarian kami supaya memastikan diri kita lebih bebas dari salah laku dan unsur tidak baik sepanjang tempoh perkhidmatan,” katanya hari ini.

Terdahulu,  Saipol Bahari menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan disaksikan oleh Timbalan ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd. Jamil di Ibu Pejabat Nafas di Kota Damansara hari ini.

Ditanya bagaimana pihaknya mahu memastikan supaya warga kerja dan setiap ahli Nafas bermaklumat dan dapat membezakan unsur rasuah dalam urusan kerja harian mereka, beliau menjelaskan, pihaknya akan menyalurkan maklumat maklumat tentang gejala rasuah ke setiap negeri.

“Memang benar kita sendiri tidak dapat menjangkakan yang mana satu unsur rasuah dalam urusan perkhidmatan harian kita yang sentiasa bertemu pelanggan.

“Maka menerusi IBS ini, kita akan menyalurkan segala maklumat SPRM dalam membezakan rasuah supaya dapat menjaga intergriti dan ketelusan perkhidmatan setiap ahli dan Nafas komited dalam perkara ini.

“Nafas juga yakin Jabatan Integriti masih dalam proses distrukur, dan ia akan dikuatkuasakan menjelang Januari 2018 untuk mengawal dan mengawal integriti kakitangan dan ahli.

“Biasanya, ia akan menguruskan kakitangan yang tidak berintegriti menerusi Jawatankuasa disiplin dalaman dan tindakan pembuangan kerja.

“Jika terdapat unsur rasuah, ia akan diuruskan oleh SPRM sama ada orang itu terlibat dalam gejala pemberian atau penerimaan rasuah atau salah guna kuasanya,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette