Home Utama RM30j naik taraf pusat tahfiz, bukan bayar gaji – Zahid

RM30j naik taraf pusat tahfiz, bukan bayar gaji – Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman (tiga kiri) dan Pengerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Tan Sri Aseh Che Mat (tiga kanan) melakukan gimik pelancaran Persidangan Psikologi Modal Insan 2017 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 09 OKTOBER 2017.

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan memastikan peruntukan kira-kira RM30 untuk menaik taraf maahad tahfiz di seluruh negara digunakan bagi menjamin keselamatan pelajar dan guru.

Katanya, beliau tidak mahu maahad tahfiz menyalahgunakan bantuan yang diterima itu untuk membayar gaji guru.

“Sebelum ini kerajaan telah meluluskan RM30 juta kepada pusat-pusat tahfiz di seluruh negara, malangnya mereka gunakannya untuk membayar gaji guru.

“Peruntukan itu bukan untuk bayar gaji guru, ia untuk meningkatkan tahap struktur bangunan pusat tahfiz berkenaan supaya mencapai piawaian ditetapkan dan menjamin keselamatan pelajar serta guru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Psikologi ModalInsan 2017 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman.

Mencerita lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, beliau berada di bilik Jabatan Forensik dan menyaksikan sendiri mayat pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat Ujung yang rentung dalam tragedi kebakaran yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru itu.

Katanya, mereka terkorban hanya kerana angkara jenayah yang dilakukan enam daripada tujuh remaja yang ditahan.

“Di mana moral mereka? Siapa yang menderita dengan kemalangan yang meragut nyawa kanak-kanak tidak berdosa ini?

“Sebab itu, saya minta kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, saya mahu mengetuai sendiri jawatankuasa bertindak khas berhubung kes ini, dan Perdana Menteri bersetuju meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta.

“Dengan peruntukan ini, saya akan pastikan pihak maahad atau pusat tahfiz gunakannya untuk tambahbaikkan struktur bangunan dan menambah ciri-ciri keselamatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette