Kebakaran hutan di Utara dan selatan California menyaksikan lebih 10 orang terbunuh dalam kejadian 8 Oktober lalu.

KUALA LUMPUR – Tiga keluarga warga Malaysia dilaporkan selamat ekoran kebakaran hutan di utara dan selatan California yang  dilaporkan merebak sejak 8 Oktober lalu.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, setakat ini sebanyak 10 kematian telah dilaporkan dan 100 mangsa sedang menerima rawatan.

“Lebih 20,000 orang penduduk telah dipindahkan ke kawasan selamat. Tiga keluarga warga Malaysia dilaporkan selamat dan telah dipindahkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Tiada sebarang kecederaan telah dilaporkan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kementerian Luar turut melahirkan rasa simpati kepada semua mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut.

Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles, katanya, sedang memantau keadaan semasa dan akan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.

Warganegara Malaysia yang berada di sekitar kawasan kejadian dan memerlukan bantuan konsular disarankan supaya berhubung dengan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles melalui alamat 777 South Figueroa St. Suite 600, Los Angeles, CA 90071.

Nombor telefon yang boleh dihubungi ialah +1-213- 447-9404, +1-626- 277-1473 atau menerusi Email : [email protected].

Setakat ini, lebih 300 anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran hutan yang memusnahkan tanah melibatkan seluas 57,000 ekar.

Dua hospital di Santa Rosa telah dipindahkan bersama dengan lebih 20,000 penduduk berikutan kemaraan api yang besar dan suka dikawal setakat ini- MalaysiaGazette