Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao
KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad dicabar mengumpulkan sehingga dua juta tanda tangan sebagai tanda sokongan orang ramai kepada Perhimpunan Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi yang bakal diadakan Sabtu ini.
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao berkata, Mahathir perlu membuktikannya terlebih dahulu sebelum mahu meneruskan hasratnya itu.
“Mahathir jangan hanya pandai bercakap sedangkan di peringkat akar umbi rakyat sebenarnya tiada siapa yang berminat menyokong atau menghadiri perhimpunan itu.
“Kegagalan Mahathir boleh dilihat dalam Deklarasi Selamatkan Malaysia tanpa mendapat satu juta tandatangan rakyat,  malah memalsukan tandatangan untuk dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak letak jawatan.
“Mahathir ini pandai manipulasi keadaan untuk memihak kepada dirinya, ada rakyat boleh percaya pada kata-katanya walaupu sebenarnya beliau hanya bercakap bohong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pakatan Harapan sebelum ini mensasarkan sehingga 100,000 peserta yang mengambil bahagian dalam perhimpunan itu yang dijadualkan berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya, pada 14 Oktober ini.
Ia bakal menjadi himpunan pertama anjuran Pakatan Harapan sejak gabungan empat parti pembangkang itu mengemukakan pendaftaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), akhir Julai lalu.
Kleptokrasi, atau negara yang diperintah pencuri, merupakan istilah digunakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikah (DoJ) dalam usaha merampas aset mewah yang didakwa dibeli menggunakan dana diseleweng daripada 1MDB.
Ramesh juga berkata, sekiranya Mahathir gagal mengumpulkan dua juta tandatangan, perhimpunan itu perlu dihenti dan dibatalkan serta-merta.
Katanya, rakyat Malaysia masih mempunyai maruah dan pemikiran yang hebat dan bukan mudah untuk diperdaya serta dipengaruhi dengan politik sempit dengan cara mengadakan perhimpunan haram yang menyusahkan semua pihak.
“Jangan buat rakyat umpama modal untuk dirinya dan menghasut sesuka hati dengan disuruh hadir dalam perhimpunan yang hanya akan membibitkan rasa kebencian kepada pemimpin kerajaan dan Barisan Nasional (BN).
“Pakatan Harapan kena terima hakikat rakyat Malaysia sudah muak dan benci dengan penganjuran perhimpunan seperti ini yang sebenarnya bertujuan menunjukkan kepada negara luar bahawa kita dalam masalah,” katanya.
Katanya lagi, perhimpunan Sabtu ini sebenarnya hanyalah gimik untuk pembangkang menutup kesalahan sendiri yang dilakukan sebelum ini yang memperlihatkan kegagalan gabungan mereka.
“Bagi saya, perhimpunan ini hanya sia-sia dan tidak membawa apa-apa kebaikan kepada negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

Comments are closed.