Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar memperkatakan sesuatu kepada salah seorang mangsa rumah yang dirobohkan di Masjid Lapangan Terbang Subang, En Abdul Razak Said (kiri) pada Majlis Penyampaian Kunci PPR LS2 Kepada Mangsa Rumah Yang Dirobohkan di PPR Lembah Subang 2. foto SAFWAN MANSOR, 10 OKTOBER 2017
SUBANG – Setelah kediaman berhampiran Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dirobohkan pada Rabu lalu, ketakutan menghantui dua bekas pegawai masjid berkenaan memikirkan keselamatan isteri dan anak-anak.
Bagaimanapun nasib mereka akhirnya terbela apabila diberikan rumah baharu untuk diduduki di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di sini.
“Sejak rumah dan kedai kami diroboh pada Rabu lepas, kami bersama isteri dan lapan anak terpaksa tidur dan menjalani kehidupan di tempat letak kereta berhampiran kawasan sekitar.
“Barang perniagaan dan peralatan rumah rosak akibat diroboh dianggarkan kerugian sekitar RM10,000.
Abdul Razak Said
“Hari ini kami teruja dengan tindakan pantas dan keprihatinan Menteri Kesejahteraan Bandar, perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar menyediakan rumah baharu dengan kadar Sewa RM255 sebulan,” kata Abdul Razak Said, 50, ketika ditemui di sini  hari ini.
Lebih menggembirakan, mereka bukan hanya menerima seunit rumah PPR, malah mereka turut disediakan seunit kedai di tingkat bawah PPR yang sama dengan kadar sewa serendah RM300 sebulan.
Seorang lagi mangsa Mohd Yaacob Abdul, 63, peniaga kedai runcit yang turut tertindas dengan insiden perobohan rumah oleh Pejabat Tanah dan Galian Daerah Petaling turut bersyukur atas tindakan pantas wakil rakyat Dewan Undangan Negeri, Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan.
“Kami tidak terima bantuan hitam putih daripada kerajaan negeri Selangor yang sepatutnya membantu rumah kami daripada diroboh pihak berkuasa.
“Tetapi kami gembira apabila Datuk Halimaton sendiri turun padang mendengar masalah kami dan mengaturkan segera rumah baharu menerusi perbincangan dengan KPKT.
Yaakob Abdul
“Bukan sahaja rumah dengan kadar sewa RM255 sahaja, tetapi kami juga diamaklumkan boleh dimiliki dengan harga bawah pasaran RM125,000 setelah dua tahun membayar sewa tanpa gagal.
“Saya lega kerana tidak perlu merisaukan mengenai keselamatan isteri dan anak-anak kami akan berpindah ke sini malam ini juga,” tegasnya lagi kepada MalaysiaGazette.
Kedua-dua keluarga itu menerima kunci rumah dan kedai daripada Noh Omar yang juga pengerusi Barisan Nasional Selangor  hari bersama Halimaton dan meninjau rumah PPR baharu yang ditawarkan kerajaan Pusat itu.
Yaacob dan Abdul Razak menegaskan pihaknya telah berbincang dengan peguam mereka untuk menyaman pihak yang merobohkan kediaman mereka tanpa mengambil peduli kes berkenaan telah difailkan di Mahkamah Rayuan.
“Peguam kami akan tentukan bila nak teruskan saman itu,” Yaacob tanpa mengulas lanjut. – MalaysiaGazette