KUALA LUMPUR – Generasi muda di negara ini harus kekal sebagai ‘anti establishment’ (anti pemerintah) dalam konteks yang kritis dan bertanggungjawab, kata Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, ia tidak salah sebaliknya disifatkan sebagai satu perkara positif.

Bagaimanapun kata beliau, apa yang penting adalah soal kebijaksanaan, bestari dan bertindak sebagai jauhari yang akhirnya dapat menilai antara intan dan kaca.

“Orang muda harus anti establishment bukan sahaja sekarang tetapi sejak dahulu.

“Jangan jadi orang-orang muda yang tenggelam dengan soal-soal isu tanpa memahami fundemantal.

“Tengok isu-isu sensasi kita seronok. Kita terlupa bagaimana formula Barisan Nasional itu yang mensejahterakan kita rakyat berbagai kaum. Kita terjun kepada parti cauvinis Cina.

“Kita boleh bersikap anti establishment tapi perlu ke arah yang positif,” katanya pada sidang media selepas menjadi panel dalam program Diskusi UMNO Online ‘Anda Tanya Kita Jawab – Golongan Muda Anti Establishment’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan berhubung ketidak cenderungan generasi muda pada hari ini terhadap perkembangan politik tanahair, Annuar berkata, tidak perlu menuding jadi kepada orang lain dalam pekara tersebut.

Katanya, apa yang berlaku adalah kerana kurangnya asuhan ibarat seorang bapa yang membimbing anak.

“Salah kita kerana tidak cukup dalam membimbing mereka. Kita asyik nak bercakap benda, duit, bajet yang merupakan santapan fizikal,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, diskusi seperti itu akan diteruskan pada masa-masa akan datang dan akan turut melibatkan ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Katanya, ia bukan sahaja diadakan di PWTC malah, turut akan dianjurkan di universiti-universiti sebagai memenuhi permintaan dalam mendengar masalah rakyat. – MalaysiaGazette

Comments are closed.