Othman Mustapha

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius ceramah yang disampaikan pegawai kader jabatan itu di Kementerian Dalam Negeri, Zamihan Mat Zain yang didakwa mengandungi unsur kritikan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha berkata, pihaknya telah memanggil Zamihan yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) pagi tadi untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan perkara itu.

“Kita memandang serius isi kandungan ceramah beliau dan telah memanggilnya untuk mendapatkan penjelasan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Polis menahan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) Dr Zamihan Mat Zin susulan ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman di sebuah masjid di Shah Alam, Ahad lepas.

Zamihan ditahan polis kira-kira jam 3.50 petang ini, ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, permohonan reman ke atas Zamihan akan dibuat esok untuk membantu siasatan.

Beliau disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 kerana menghasut.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, Zamihan disiasat di bawah akta itu selepas pihaknya menerima laporan berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman.

Mengulas lanjut mengenai kedudukan Presiden ASWAJA itu, Othman berkata, pihaknya telah memutuskan merujuk perkara itu kepada Lembaga Tatatertib untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

Comments are closed.