Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Yusuf Azmi bersama Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Dzulkifli Ahmad di Putrajaya semalam.

KUALA LUMPUR – Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam (PPIM) menafikan beliau ‘ditahan’ oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya semalam.

Yusuf Azmi memberitahu, kehadirannya ke SPRM memang ada kaitan dengan beberapa urusan kes terdahulu PPIM tetapi apa yang mengambil masa yang panjang kerana beliau menjadi ‘tetamu’ kepada Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Menurutnya, pertemuannya dengan Dzulkifli dipejabat SPRM mengambil masa kira-kira empat jam.

“Orangnya (Dzulkifli) hebat dan luar biasa, saya bukan suka puji orang. Karakter beliau layak jadi pemimpin..tawaduk, merendah diri berani dan penuh sifat kasih sayang.

“Saya bukan dapat peruntukan cakap macam ini,” ujarnya dalam pertemuan dengan Malaysia Gazette semalam.

Beliau berkata demikian menjawab beberapa dakwaan tular di media sosial semalam mengatakan Yusuf ditahan SPRM.

Selain ‘kehebatan’ Dzulkifli, Yusuf juga mengakui ‘kehebatan’ SPRM dalam tugas risikan dan ia bakal menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada pengamal rasuah di negara ini.

“Beliau (Dzulkifli) sanggup terima kritikan dan pandangan saya dan apabila beliau berkata, beliau hanya mahu meneruskan perjuangan Rasullulah (SAW) saya jadi hampir menitiskan air mata.

“Jawapan yang saya suka beliau berkata, saya ini berkhidmat bukan untuk orang politik, saya khidmat untuk rakyat dan dan negara,” kata Yusuf yang merasakan ada persamaan antaranya dan Dzukifli dalam konteks perjuangan.

Menurutnya, Dzulkifli juga menegaskan, bukan menjadi satu ‘keseronokan’ menangkap orang dan beliau seboleh-bolehnya lebih suka memberi amaran kepada mereka yang terlibat dalam kes rasuah.

“SPRM hendak betulkan ‘gelong-gelong’ dalam kerajaan, dalam parti politik.. biarkan lepaskan SPRM (buat kerja) ini budaya yang baik,” katanya lagi.- MalaysiaGazette