KUALA LUMPUR – Kedudukan pelajar India akan terjejas teruk sekiranya kerajaan membenarkan pengambilan di Universiti Awam berdasarkan meritokrasi sepenuhnya.

Presiden Pertubuhan Aduan Rakyat Malaysia (PAR), Datuk A. Chandrakumanan berkata, komuniti India telah berdepan masalah ini sejak bertahun lama sehingga Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan untuk memberi peruntukan tempat di matrikulasi untuk 1,500 pelajar India.

Malangnya kata beliau, komuniti India gagal memanfaatkan peluang keemasan yang disediakan kerajaan sepenuhnya sehingga hari ini.

“Sebelum ini, terdapat sistem kuota pengambilan ke UA yang mana telah digantikan dengan sistem meritokrasi yang berasaskan merit atau kelayakan, langsung tidak memanfaatkan pelajar India

“Ini tidak bermakna pelajar India tidak cemerlang atau bijak dalam akademik.Bilangan pelajar India dalam kursus perubatan dan undang-undang menunjukkan mereka berupaya menyerlah dan bersaing pada tahap terbaik.

“Pun begitu kenapa bilangan pelajar India yang diterima dalam univerisiti tempatan masih kecil dan mendapati penurunan dalam peratusan,” kata beliau kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau mendakwa penurunan itu disebabkan pengambilan masuk ke universiti tempatan berdasarkan sistem meritokrasi.

Katanya, populasi masyarakat India yang rendah mengakibatkan pelajar India menjadi mangsa.

“Ini sangat benar seperti yang didedahkan oleh Perdana Menteri  pada 8 Oktober lalu. Pengambilan pelajar India menerusi meritokrasi hanya mencapai sekadar 3 hingga 4 peratus sahaja.

“Bayangkan sekiranya 30,000 pelajar India terpaksa bersaing dengan 410,000 pelajar lain di UA, ini mana adil?,” ujarnya.

Bekas Naib Presiden myPPP itu juga memberitahu perbezaan status sosioekonomi setiap komuniti mempengaruhi kecemerlangan akademik para pelajar.

Jelasnya, tahap berbeza ini telah membawa kepada peruntukan 1,500 tempat oleh Najib kepada anak India untuk bermanfaat.

“Peliknya, tindakan beliau yang sepatutnya harus dihargai telah dipolitikkan oleh segelintir individu dari pembangkang.

“Walaupun peluang dibuka seluas-luas kepada anak India, yang menghairankan hanya 61.27 peratus difahamkan menerima tawaran matrikulasi.

“Apabila diperiksa ia disebabkan oleh kursus yang ditawarkan adalah bukan pilihan utama mereka,” tegasnya.

Namun, beliau menyifatkan Perdana Menteri melakukan tindakan berani apabila mengarahkan untuk menyediakan 700 tempat tambahan bagi pelajar India di UA semasa perasmian Perhimpunan Agung IPF pada Ahad lalu.

“Saya berharap pelajar India peka dengan pengumuman ini dan merebut peluang itu untuk meneruskan pengajian melalui saluran nasihat terbaik.- MalaysiaGazette