CHUKAI – Dua anggota polis yang dalam konvoi dari Mersing ke Kuala Terengganu maut selepas motosikal mereka dirempuh van di Bukit Kuang, Kijal, Kemaman.

Kejadian kira-kira jam 2.25 petang itu berlaku ekoran sebuah lori kecil jenis KIA dipercayai memasuki laluan konvoi terbabit lalu merempuh dua motosikal jenis CBX 750 yang ditunggangi mangsa.

Insiden itu mengakibatkan Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54, dan Koperal I Suresh, 36, maut di tempat kejadian.

Ketika kejadian, dua anggota trafik itu bersama tujuh pegawai dan 18 anggota trafik lain dalam konvoi menjalani Latihan Dalam Perkhidmatan menunggang jarak jauh motosikal berat.

Perkara itu disahkan Ketua Polis daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim.

“Berikutan kejadian itu kedua-dua anggota terbabit tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kita menahan pemandu dan kelindan lori terbabit untuk siasatan lanjut serta melakukan ujian saringan air kencing,” katanya memetik laporan Berita Harian Online.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Kedua-dua jenazah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut. -MalaysiaGazette.