Shahrir Abdul Samad.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menafikan tuduhan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang mengatakan Felda akan kerugian RM38 juta akibat penjualan Grand Plaza Serviced Apartment di London.

Jelasnya, pembelian pangsapuri tersebut adalah menerusi dana dalaman Felda dan tidak menanggung sebarang kos bayaran faedah.

Ini berbeza dengan dakwaan Rafizi yang kononnya, Felda membeli pangsapuri berkenaan menerusi wang pendahuluan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang didapati sebelum penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) yang dahulunya merupakan anak syarikat milik penuh Felda.

“Rafizi tidak sedar Felda merupakan sebuah badan berkanun yang mempunyai sumber pendapatan dan kewangan sendiri tanpa mendapat pembiayaan kos operasi dari kerajaan persekutuan sejak 1996.

“Ini bermakna perjalanan operasi Felda tidak langsung ditanggung oleh pembayar cukai mahupun peneroka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menjelaskan mengenai tuduhan Rafizi yang mengatakan Felda mendapat pinjaman daripada KWSP untuk membeli pangsapuri berkenaan, Shahrir berkata, ianya tidak benar.

Ini kerana Felda menerima pinjaman berjaminan kerajaan sebanyak RM6.5 bilion daripada KWSP pada Disember 2009 untuk membiayai keperluan program tanam semula peneroka Felda dan FGV yang ketika itu masih anak syarikat milik penuhnya.

Pangsapuri yang dibeli pada harga RM538 juta itu diselubungi kontroversi kerana dikatakan tidak mencatat keuntungan dan akan dijual tidak lama lagi.

Jelas Shahrir, keputusan Felda untuk menjual Grand Plaza Service Apartment itu adalah sejajar dengan inisiatif agensi berkenaan untuk menyusun semula aset-asetnya dengan melepaskan aset yang tidak berkaitan dengan operasi terasnya.

“Sehingga kini terdapat 54 pihak yang menyatakan minat untuk membeli Grand Plaza Service Apartment dan kini proses penjualan dalam peringkat akhir bagi meneliti tawaran terbaik dan munasabah,” katanya lagi.

Shahrir turut menafikan dakwaan Rafizi yang mengatakan terdapat perbelanjaan misteri operasi sebanyak RM80 juta ke atas pangsapuri berkenaan, beliau menjelaskan itu adalah bayaran kadar pajakan tahunan.

“Ini adalah komponen utama perbelanjaan mentadbir FIC Grand Plaza Ltd. yang dirujuk Rafizi adalah bayaran kadar pajakan tahunan.

“Kadar pajakan ini merupakan bayaran sewaan yang perlu dibuat oleh FIC Grand Plaza Ltd. yang merupakan syarikat yang menguruskan perniagaan bagi pihak syarikat induk iaitu FIC UK Properties Sdn. Bhd.

“Ini jelas dinyatakan dalam kenyataan butiran pendapatan yang merupakan sebahagian daripada penyata kewangan FIC Grand Plaza Ltd.,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. bayar pajak 80 juta setahun , pendapatan berapa ratus juta agaknya . inilah bisnes peneroka felda disamping berladang . modal dan rugi peneroka tanggong untong orang yang buat kerja yang dapat .inilah buah fikiran anak pm Razak yang amat bergeliga

Comments are closed.