Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Pas tidak setuju cadangan supaya mewujudkan pakatan pilihan raya UMNO-Pas bagi menghadapi pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, jika cadangan itu dilaksanakan, ia akan memecah belahkan perpaduan dalam kalangan ahli dan penyokong Pas, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tegas beliau, rundingan pakatan pilihan raya antara UMNO-Pas tidak akan terjadi kerana parti itu konsisten dengan pendirian untuk bersama Gagasan Sejahtera (GS) dalam mendepani PRU akan datang.

“Kita hanya bersama Gagasan Sejahtera, tidak bersama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“UMNO pun mahu bertanding di Kelantan. Ini semua ucapan-ucapan untuk pecah belahkan ahli Pas saja, dia mahu timbulkan keraguan ahli Pas dan masyarakat terhadap Pas saja,” katanya sebagaimana dipetik portal berita Antarapos hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dalam satu  sesi dialog “Anda Tanya Kita Jawab” di Menara Dato Onn di sini, dilaporkan berkata, parti itu telah memberi lampu hijau kepada presiden mereka, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengadakan rundingan pakatan pilihan raya dengan Pas.

Malah minggu lalu, Annuar juga membayangkan UMNO dan Pas akan bekerjasama kerana mendakwa kedua-dua parti itu mempunyai ‘DNA yang sama’ iaitu memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Menurut Idris, pendirian Pas tidak berganjak daripada sebelum ini, iaitu hanya akan bekerjasama dengan UMNO dalam hal berkaitan perkara membabitkan kepentingan Islam sahaja.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, tidak timbul sama sekali Pas akan mewujudkan kerjasama pilihan raya dengan UMNO hanya disebabkan kedua-dua parti itu senada dalam hal berkaitan agama. – MalaysiaGazette