Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hasim Ismail pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman diantara Konsortium Bas Express Semenanjung (M) dan PULSE GROUP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 12 OKTOBER 2017

PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya hari ini menggesa kerajaan mengekalkan kadar tambang pengangkutan awam khususnya di sini yang pada masa ini dikenakan 50 sen untuk setiap penumpang bagi satu perjalanan.

Presidennya, Datuk Seri Hasim Ismail berkata, walaupun Perbadanan Putrajaya terpaksa menanggung sehingga RM3.00 subsidi setiap pengumpang, namun ia menjadi perkhidmatan sosial kerajaan sejak 10 tahun lalu yang perlu dikekalkan.

“Kita mengenakan caj ataupun tambang minimum 50 sen setiap kali penumpang menaiki bas. Kita sudah beroperasi lebih 10 tahun, tapi kita masih boleh menguruskan perkhidmatan ini disebabkan oleh bantuan kerajaan

“Perkhidmatan Nadi Putra yang berada di Putrajaya ini adalah salah satu komitmen kerajaan dan jadi perkhimdatan sosial kepada masyarakat Putrajaya.

“Sebab itu kita kekalkan (tambang) dari dulu hingga sekarang tambang 50 sen satu penumpang satu perjalanan. Kalau boleh dan saya minta dikekalkan atau diperbaiki sebab ia adalah perkhidmatan sosial,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Seri Hasim Ismail (tengah) menyaksikan Ketua Eksekutif Kumpulan PULSE GROUP, Datuk Badlishah Ahmad (tiga kiri) bersalaman dan bertukar dokumen dengan Pengarah Urusan Konsortium Bas Express Semenanjung (M) Sdn. Bhd., Datuk Che Azizuddin Che Ismail (dua kanan) turut serta Setiausaha Sulit Kanan Menteri Wilayah, Datuk Mohd Rahimi Rejab (tiga kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman diantara Konsortium Bas Express Semenanjung (M) dan PULSE GROUP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 12 OKTOBER 2017

Hadir sama Setiausaha Sulit Kanan Menteri Wilayah, Datuk Mohd Rahimi Rejab pada Majlis Menandatangani MoU di antara Konsortium Bas Express Semenanjung (M) dan PULSE GROUP.

Terdahulu beliau GETS Global Berhad (GETS Global) melalui anak syarikatnya Konsortium Bas Ekspress Semenanjung (M) Sdn Bhd memeterai MoU dengan Putrajaya Leisures & Services Group Sdn Bhd (PULSE Group) bagi cadangan pengambilalihan saham di dalam Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tours Sdn Bhd (PAPTT).

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan GETS Global, Datuk Che Azizuddin Che Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PULSE Group, Datuk Badlishah Ahmad di PICC, di sini.

Mengulas lanjut, Hasim juga berkata, MoU itu merupakan batu loncatan dalam menangani isu pengangkutan awam di Putrajaya iaitu perkhidmatan Bas Nadi Putra.

“Kita dapat lihat bagaimana GETS Global dapat menguruskan pengangkutan awam Putrajaya dan menjadi harapan saya supaya isu yang berkaitan dengan pengangkutan awam di Putrajaya dapat diatasi.

“Saya berharap GETS Global akan dapat menguruskan pengangkutan awam iaitu bas di Putrajaya secara efisien. Kami juga mengharapkan pengumuman yang mendatangkan faedah kepada pengguna-pengguna bas di Putrajaya ini,” jelasnya.

Sementara itu, Che Azizuddin pula menyatakan keyakinan melalui kerjasama itu dapat memberikan manfaat dan menyumbang ke arah mencapai visi Putrajaya Bandar Hijau menjelang 2025.

“Dengan sokongan rakan teknologi, FOTON, kami akan memperkenalkan perkhidmatan bas elektrik dengan lebih meluas di Putrajaya di mana penggunaannya dapat mengurangkan pencemaran emisi karbon, bunyi dan kesesakan lalulintas dan perkhidmatan lebih cekap,” katanya. -MalaysiaGazette