C. Sivarraajh

KUALA LUMPUR – Universiti Industri Selangor (UNISEL) digesa supaya tidak mendiskriminasikan pelajar India di institusi itu dengan tidak membenarkan cuti tambahan bersempena sambutan Deepavali pada 18 Oktober ini.

Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Datuk C. Sivarraajh terkejut dengan keputusan pengurusan tertinggi UNISEL yang mahu mengadakan kuliah pada 17 dan 19 Oktober ini iaitu sehari sebelum dan selepas Deepavali yang jatuh pada Rabu depan.

Beliau dimaklumkan pelajar India hanya dibenarkan bercuti Deepavali selama sehari sahaja.

“Pengurusan tertinggi UNISEL perlu hentikan tindakan perlekeh pelajar India untuk bercuti lebih menyambut Deepavali bersama ahli keluarga di kampung halaman masing-masing.

“UNISEL seharusnya bertimbang rasa dan meluluskan tiga atau empat hari pelepasan supaya pelajar yang menyambut pesta cahaya dapat pulang ke kampung mereka.

“Kami difahamkan, UNISEL pernah meluluskan cuti seminggu semasa sambutan Tahun Baru Cina dan Aidilfitri tetapi kenapa tidak untuk sambutan ketiga terbesar negara, Deepavali kali ini.

“Cuti sehari pada hari sambutan tidak cukup untuk perjalanan pelajar meluangkan masa bersama keluarga dan Naib Canselor UNISEL, Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman diharap mempertimbangkan rayuan cuti tambahan kali ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah , Sivarraajh, pelajar India difahamkan sudah mengemukakan rayuan cuti tambahan Deepavali pada Isnin lalu tetapi belum menerima sebarang maklumbalas pihak universiti itu.

Sivarraajh turut menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali campur tangan dalam masalah yang sama.

“Bagaimana Pakatan Harapan (PH) hendak menjamin masa depan masyarakat India jika soal kebajikan pelajar India di universiti yang beroperasi negeri pentadbiran sendiri tidak dipedulikan pemimpin itu.

“PH kini sedang menarik pemimpin India dalam pentadbirannya demi meraih sokongan undi masyarakat India.

“Malangnya, tindakan tidak mengambil peduli kebajikan pelajar India dan tidak hormat sambutan Deepavali jelas menunjukkan ketidakikhlasan dan sekadar menghiasan yang memperdaya undi masyarakat India,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette