KUALA LUMPUR – Penggiat industri perbankan berharap Bajet 2018 akan membantu meningkatkan ekonomi digital, terutama industri teknologi tinggi, e-dagang serta sektor pembuatan dari segi Industri 4.0.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AMMB Holdings Bhd, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, perusahaan kecil dan sederhana, termasuk ekonomi digital adalah pemacu pertumbuhan negara yang penting.

“Sektor terlibat perlu mendapat manfaat daripada pelbagai insentif yang boleh merangsang pertumbuhan,” katanya.

Beliau juga berharap bajet tersebut akan memberikan insentif kepada kategori M40 dan B40 bagi menangani peningkatan kos sara hidup dan terus memberi tumpuan kepada perumahan mampu milik dengan pelbagai langkah membantu pembeli dan pemaju perumahan.

M40 merujuk kepad golongan berpendapatan 40 peratus pertengahan, iaitu mereka yang berpendapatan antara RM3,860 dan RM8,319 sebulan. Manakala B40 merujuk kepada 40 peratus isi rumah dengan pendapatan bulanan RM3,900 dan ke bawah.

Sulaiman, yang juga CEO AmBank (M) Bhd yakin kerajaan akan meletakkan asas untuk Transformasi Nasional 2050 dalam bajet tersebut bagi membabitkan generasi muda seiring dengan tema Bajet 2018, iaitu ‘Membetuk Masa Depan’.

“Oleh itu, kami berharap pelbagai langkah untuk meningkatkan teknologi seperti menambah baik sambungan Internet dan membangunkan ekonomi digital akan menjadi sebahagian daripada tumpuan bajet,” katanya.

Beliau berkata, sasaran defisit fiskal sebanyak tiga peratus untuk 2017 dijangka dapat dicapai, disebabkan harga komoditi yang semakin stabil, kutipan cukai lebih tinggi, pertumbuhan global yang semakin baik serta pengukuhan fiskal yang sedang berlaku.

“Defisit fiskal untuk 2018 dijangka berkurangan kepada 2.9 peratus daripada keluaran dalam negara kasar berikutan hasil yang lebih tinggi daripada pengukuhan harga minyak mentah, kutipan cukai yang mantap serta perbelanjaan berhemat,” tambahnya.- BERNAMA