Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar (tengah) menunjukkan salinan berita SPRM selepas menghantar maklumat tambahan kes rasuah membabitkan peruntukan luar bandar Sabah di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 13 OKTOBER 2017

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman tidak terlibat dalam isu kes rasuah melibatkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Tuduhan melibatkan Najib dan Musa satu dakwaan serius, kata Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar.

Menurutnya, pembangkang dilihat cuba memutarbelitkan fakta sebenar dengan mengaitkan laporan GAUM kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan pemimpin negara.

“Ada tuduhan kononnya arahan untuk menyiasat peruntukan rakyat adalah atas arahan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Musa Aman kononnya kerana sudah hampir PRU-14.

“Kita sebenarnya bersedia untuk menghadapi Parti Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal. Tidak ada sebab untuk PM membuat arahan sebegini,” katanya.

Zulkarnain berkata demikian setelah menghantar maklumat tambahan kes rasuah membabitkan peruntukan RM7.5 bilion dalam KKLW di ibu pejabat SPRM hari ini.

Sebelum ini GAUM giat mendedahkan kepada penduduk Sabah berhubung kelemahan pentadbiran Mohd. Shafie ketika menjadi menteri di KKLW.

“Hari ini kami tampil buat laporan tambahan berkaitan isu dana rakyat miskin di Sabah yang bernilai RM1.5 bilion daripada RM7.5 bilion. Kami telah berikan maklumat yang terkini kepada SPRM.

“Pihak SPRM berjanji untuk meneliti dokumen yang diserahkan kepada pihak SPRM. Saya bersedia untuk dipanggil bila-bila masa sahaja untuk memberikan maklumat tambahan sekiranya diperlukan SPRM,” katanya di perkarangan bangunan SPRM hari ini.

GAUM pada Mac lalu telah membuat satu laporan kepada SPRM sebagaimana yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin pada tahun 2011.

Sebelum itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah juga telah membuat laporan sama kepada SPRM, malah satu laporan polis juga pernah dibuat mengenai isu terbabit.

“Rakyat ingin tahu kerana peruntukan begitu banyak dan jalan masih dalam keadaan teruk. Ini yang kita cuba bangkitkan untuk pihak SPRM menyiasat cacat cela peruntukan ini,” jelas Zulkarnain lagi.

Pada Selasa lalu, adik kepada Mohd. Shafie, Hamid Apdal, ditangkap SPRM dalam siasatan ke atas kes dana pembangunan luar bandar RM1.5 bilion di Sabah yang disyaki ‘digelapkan’.

Hamid sebelum itu tampil ke pejabat SPRM bagi merakamkan keterangan. Enam orang kini sudah ditahan reman bagi membantu siasatan.

Mereka ialah Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony, Ketua Pemuda Warisan, Datuk Azis Jamman, Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar, Ketua Pemuda UMNO Tawau Ariffin Kassim, seorang ahli perniagaan dan seorang bekas Timbalan Setiausaha KKLW. -MalaysiaGazette.