Komisioner Datuk A.Thaivegan

KUALA LUMPUR – Suspek kelima yang dikehendaki polis dalam siasatan kes penipuan pelaburan jualan banglo murah oleh Syarikat DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources ditahan polis hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial BukitĀ  Aman, Komisioner Datuk A. Thaivegan berkata, suspek yang dikenali sebagai Zubir Yahya atau Ustad Zubir ditahan kira-kira pukul 11 pagi.

“Suspek berusia 50 tahun berjaya ditahan di sebuah restoran di Setapak.

“Zubir telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Thaivegan, tiada rampasan dibuat daripada suspek di lokasi tahanan.

“Polis akan membawa suspek ke mahkamah untuk perintah reman pada esok (14 Oktober) bagi meneruskan siasatan kes penipuan yang melibatkan kira-kira RM6.8 juta,” ujarnya.

Selain Datuk Noruliman Ab Rahman atau Boy Iman yang ditahan sebelum ini, tiga lagi individu termasuk wanita yang kesemuanya berumur lingkungan 30 hingga 45 tahun turut dicekup dan masih disiasat.

“Kesemua mereka sedang menjalani tahanan reman di Ibu pejabat Polis Daerah Kangar Perlis selama dua hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.- MalaysiaGazette