Datuk Seri Syed Ali Syed Alhabshee
Datuk Seri Syed Ali Alhabshee

KUALA LUMPUR – Ketelusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi rasuah dan salahguna kuasa tanpa terbatas kepada elemen politik akan mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, rakyat sentiasa menyokong usaha dan kebertanggungjawaban SPRM memerangi rasuah yang jelas mencerminkan kerajaan tidak bertolak ansur dengan gejala tersebut.

Beliau turut menyifatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebagai seorang yang berani dalam usaha memerangi habis-habisan gejala rasuah.

“Pujian sewajarnya diberikan kepada SPRM dan Dzulkifli. Ini tindakan berani yang tidak terbatas kerana elemen politik, ketelusannya membawa kepercayaan rakyat bahawa tiada istilah jerung dan ikan bilis,” katanya.

“Tindakan berani dan kecekapan SPRM menghidu dan mengheret pelaku rasuah serta penyalahgunaan kuasa walaupun membabitkan pemimpin politik sebagai sesuatu yang membanggakan,” katanya menerusi kenyataan dalam blog beliau semalam.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menyelar sesetengah pihak membuat tuduhan liar kononnya tindakan SPRM sejak akhir-akhir ini sebagai ‘wayang’.

Menurut beliau, SPRM tidak membudayakan amalan pilih bulu atau pertuduhan terpilih kerana yang dicekup membabitkan pelbagai pihak termasuk pemimpin politik sama daripada parti pemerintah mahupun pembangkang.

“Hari ini terbukti SPRM dan Dzulkifli begitu komited memerangi dan menghapus gejala rasuah disetiap peringkat dan rakyat sememangnya menyokong usaha tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.