BUTTERWORTH – Pegawai Penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussin ditahan sepasukan anggota polis dari Bukit Aman kira-kira pukul 2.45 petang ini di luar Masjid Sembilang, Seberang Jaya di sini.

Difahamkan, penahanan Wan Ji yang juga penceramah bebas berkait satu laporan polis terhadap beliau di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Wan Ji yang juga Biro Agama PKR kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) di sini untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye mengesahkan penahanan Wan Ji dan menjelaskan siasatan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Pada 28 September lalu, Wan Ji dilantik sebagai Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dan mengangkat sumpah terima jawatan di hadapan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Pelantikan Wan Ji itu antaranya bertujuan membantu Kerajaan DAP Pulau Pinang menangkis dakwaan kerajaan negeri hari ini merupakan anti-Islam dan anti-Melayu.-MalaysiaGazette