KUALA LUMPUR – Perpaduan merupakan wadah sukan yang dapat memupuk masyarakat bergaya dengan hidup sihat selain semangat berjuang yang tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga mahu rakyat berbilang kaum di negara ini menjadikan sukan sebagai aktiviti rutin dan bukan setakat pada hari sukan setahun sekali.
“Kita hari ini bersukan supaya memastikan rakyat Malaysia sentiasa sihatĀ  dan berjaya dalam segala lapangan yang diceburi, yang pasti kita tidak pernah dengar orang berjaya tidak sihat dan jatuh sakit.
“Kajian ekonomi mendedahkan bahawa kadar obesiti dalam kalangan rakyat di negara ini tertinggi di Asia sebab kita sukan makan berlemak seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik tetapi tidak bersukan.
“Janganlah menyimpan lemak dalam badan dan terus bersukan, saya juga dalam proses menguruskan badan dan mahu fit (cergas) seperti Khairy Jamaluddin (KJ) tetapi pasti memakan masa yang lama dan harap anda juga bersukan dan sihat selalu,” katanya semasa berucap merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2017 kali ketiga di pekarangan Kompleks Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Perdana Menteri juga menegaskan, Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum merupakan wadah yang akan menyatukan rakyat menerusi aktiviti sukan.
Malah katanya, semangat juang dan menang perlu dipupuk dalam diri setiap warganegara ini untuk melonjakkan imej negara dipersada antarabangsa.
Beliau menjelaskan semangat juang dan boleh menang tinggi yang ditunjukkan para atlet sukan negara seperti Thanabalan, jurulatih bola sepak kebangsaan Harimau Malaya dan Azizulhasni Awang pada kejohanan berbasikal keirin dunia pada tahun 2011 sebagai contoh terbaik membentuk kejayaan dalam bidang sukan.
“Saya difahamkan sambutan Hari Sukan kali kedua pada tahun lepas menyaksikan penyertaan lebih 7.6 juta rakyat pelbagai peringkat bersukan dan kali ini saya mengharapkan lebih ramai lagi bersukan di seluruh negara hari ini.
“Kita juga perlu memupuk semangat cinta kepada negara untuk membantuk atlet sukan juara dan mengulangi kejayaan peringkat Asia seperti lakaran sejarah sukan SEA dengan merangkul 145 pingat emas pada temasya ke-29.
“Malah, perpaduan dalam sukan juga penting untuk kita membentuk generasi muda Transformasi Nasional atau TN50 yang sihat dan bermentaliti juara,” tegasnya.-MalaysiaGazette