KUALA LUMPUR – Sime Darby Property Berhad hari ini melancarkan fasa pertama Elmina Green, pembangunan kediaman terbaharunya di Bandar Elmina dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM380 juta.

Fasa pertama Elmina Green menawarkan 187 buah rumah teres dua tingkat dengan keluasan 20′ x 70′ dan binaan lantai dari seluas 2,001 kaki persegi dan ke atas.

Semua kediaman Elmina Green direka dengan pelan lantai terbuka dengan menggabungkan ruang tamu, tempat makan dan dapur bagi mengoptimumkan kawasan.

Elmina Green adalah salah satu projek kediaman dalam perbandaran Denai Alam, Bukit Subang, Elmina East dan Elmina West yang dihubungkan dengan lebuh raya Guthrie.

Kediaman itu dilengkapi dengan ciri-ciri kelestarian dan kesejahteraan seperti penggunaan bahan penebat bulu batu bagi mengawal suhu dalam kediaman.

Ciri-ciri lain ialah menggunakan tingkap besar bagi membolehkan penembusan cahaya semula jadi yang mencukupi dan pengudaraan udara yang lebih baik.

Selain itu, cat kompaun organik (VOC) digunakan untuk membasmi pelepasan bahan toksik dan bahan kimia lain ke alam sekitar.

Sebagai perlindungan tambahan, gril keselamatan dan sistem penggera juga dipasang di kediaman tersebut.

Penghuni Elmina Green turut ditawarkan taman tasik seluas 21 ekar dan lima ekar kawasan hijau bagi aktiviti rekreasi dan sosial.

Selari dengan konsep kediaman gaya hidup, kawasan taman itu turut dihubungkan dengan trek jogging dan basikal.

Pengurus Besar Sime Darby Property, Appollo Leong berkata, kediaman itu ditawarkan pada harga RM683,888 sebelum diskaun kepada pembeli Bumiputera dan rebat kepada pembeli awal.

Fasa pertama Elmina Green ini dijangka siap pada Oktober tahun 2019. – MalaysiaGazette