Pengarah Isaac Toast, Vincent Chua (kanan) bersama rakan niaga Casey Jung (kiri) berniaga bergambar di depan gerai pada majlis pembukaan kedai makanan segera Isaac cawangan yang pertama di Malaysia di KLIA 2 di Sepang, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Best Toast (Korea) Sdn. Bhd. merancang untuk membuka kios makanan popular Korea, Isaac Toast & Coffee (Isaac Toast) di seluruh negara pada masa depan.

Pengarahnya, Vincent Chua berkata, pengembangan rangkaian tersebut akan dimulakan dalam tempoh tiga bulan akan datang sebagai usaha memberi pilihan kepada pelanggannya di luar Lembah Klang.

Beliau berkata, pembukaan setiap cawangan itu akan melibatkan peruntukan pelaburan kira-kira RM500,000.
“Selepas klia2, cawangan kedua akan dibuka di pusat beli-belah di Lembah Klang
“Namun lokasi terbaharu itu masih lagi dalam peringkat kajian dan perbincangan.
“Kami menyasarkan untuk membuka cawangan di setiap negeri pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pembukaan cawangan pertama, Isaac Toast  di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (klia2) di sini baru-baru ini.
Cawangan itu dibuka di aras ketibaan.
Jenama Isaac Toast terkenal di Korea Selatan sejak tahun 1993 dan sehingga kini, ia telah memiliki lebih daripada 900 cawangan di negara berkenaan.
Makanan tersebut terkenal di kalangan pelanggan bukan beragama Islam di negara tersebut.
Sementara itu, Chua menambah, pembukaan di klia2 dapat memberi peluang kepada Isaac Toast untuk menembusi pasaran pelanggan beragama Islam selepas mendapatkan kelulusan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
.
“Isaac Toast mungkin masih kurang popular di kalangan pelanggan bukan Islam namun klia2 telah menjadi platform awal syarikat untuk membina jenama.
“Di sini kami telah menyediakan menu makanan yang bersesuai­an dengan selera pelanggan beragama Islam seperti kepingan ayam dan daging di bekalkan daripada syarikat tempatan yang memiliki pensijilan halal Jakim,” terangnya.
Vincent memberitahu, konsep cawangan adalah ‘beli dan bawa’ dengan dengan menawarkan beberapa pilihan hidangan berasaskan roti yang dipanggang dan diisi dengan kepingan daging atau ayam, telur atau kentang bersama sapuan  sos istimewa Isaac.
Sempena majlis pembukaan kios berkenaan, syarikat telah menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus kepada tempahan makanan yang dibuat antara pukul 10 pagi hingga 2 petang selama 10 hari bermula semalam hingga 17 Oktober ini. – MalaysiaGazette