Dr. Yusof Noor

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Induk Memperkasa Mahkamah Syariah mengarahkan kepada semua ketua kluster segera menggerakkan kluster masing-masing demi memastikan kejayaan penubuhan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS).

Pengerusi JKMMS, Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor berkata, kluster pertama akan bersidang ialah Kluster Cadangan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang dipengerusikan Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz Khamis ini.

Kata beliau, jemputan telah dikeluarkan kepada semua ahli kluster termasuk wakil bagi setiap parti politik untuk turut sama memberi input dan pandangan masing-masing.

“Semoga semua pihak yang dijemput dapat hadir dan menjadikan kluster ini sebagai medan berkesan untuk menyelesaikan sebarang konflik yang timbul.

“Di samping itu, kluster yang lain juga akan bersidang dalam masa terdekat demi merealisasikan hasrat murni kerajaan menubuhkan JKMMS,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Ogos lalu bersetuju menubuhkan JKMMS untuk meningkat dan memartabatkan sistem perundangan syariah secara holistik selaras kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Induk Memperkasa Mahkamah Syariah telah diadakan Jumaat lalu di Kompleks Islam Putrajaya.

Dalam mesyuarat itu ahli jawatankuasa membincangkan hal berkaitan pemerkasaan Mahkamah Syariah berdasarkan kepada kluster yang telah ditentukan seperti berikut;

Kluster Pengharmonian antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah dipengerusikan Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah dari UIAM dengan topik perbincangan, mencari jalan penyelesaian kepada konflik antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah ke arah pengharmonian kedua undang-undang berkenaan.

Kluster Pengurusan dan Penstrukturan Mahkamah Syariah dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Prof. Adjung Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar dengan topik perbincangan, sistem pengurusan dan penstrukturan Mahkamah Syariah yang lebih mantap, dinamik dan memenuhi kehendak serta keperluan semasa;

Kluster Latihan Hakim dan Pegawai Syariah dipengerusikan Ketua Pendaftar, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mohamad Shakir Abdul Hamid yang membincangkan, latihan Hakim dan Pegawai Syariah bersistematik ke arah melahirkan Hakim dan Pegawai Syariah berpengetahuan tinggi, saksiah yang mantap dan tegas dalam melaksanakan  tugasnya.

Kluster Pendidikan Undang-undang Syariah dipengerusikan Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood dari UIAM, membincangkan sistem pendidikan undang-undang syariah yang mantap untuk melahirkan hakim syariah, pendakwa syarie, penguatkuasa syarie, peguam syarie dan pentadbir perundangan Islam yang berilmu tinggi serta berdaya saing.

Kluster Hal-ehwal berkaitan Peguam Syarie yang dipengerusikan Presiden Persatuan Peguam Syarie, Tuan Musa Awang dengan topik perbincangan, penambahbaikan semua perkara berhubung hal ehwal peguam syarie ke arah melahirkan peguam syarie yang mahir dan profesional.

Kluster Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah pula membincangkan penambahbaikan perkara berhubung dengan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah. – MalaysiaGazette