Friday, April 26, 2024
Home Seni Hidup 5 finalis berentap di final AF Megastar 2017

5 finalis berentap di final AF Megastar 2017

SHAH ALAM – Seperti dijangka, tiga peserta pilihan iaitu Idayu, Bob dan Marsha mara ke peringkat akhir AF Megastar 2017 yang bakal berlangsung pada 22 Oktober ini.

Selain mereka bertiga, dua lagi finalis yang akan berentap ialah Syamel dan Shahir, sekali gus menamatkan impian Amir J serta Amir yang tersingkir pada peringkat separuh final.

Sementara itu, peserta pilihan ramai, Idayu turut dipilih sebagai Star of the Week manakala Amir pula memenangi Bintang Pilihan Raku berdasarkan undian penonton.

Bagi segmen solo, Idayu mempersembahkan lagu dendangan asal Datuk Siti Nurhaliza iaitu Segala Perasaan, sementara Bob mempertaruhkan kelunakan vokalnya menerusi karya nyanyian kumpulan Armada, Asal Kau Bahagia.

Persembahan Marsha juga tidak kurang hebat menerusi lagu Menahan Rindu yang dipopularkan oleh Wany Hasrita manakala Syamel begitu bersahaja menyanyikan Sedalam Dalam Rindu yang dinyanyikan Tajul Arif.

Shahir pula mengambil risiko menyanyikan lagu nyanyian asal penyanyi wanita, Ara Johari iaitu Warkah Untukku dan mendapat kritikan juri.

Peserta turut diberi tugasan menyanyi secara duet iaitu Idayu yang dipasangkan dengan Azharina Azhar (Kerna Ku Sanggup), Bob dan Dayang Nurfaizah (Kerna Hati Ini Telah Dilukai), Marsha dan Jaclyn Victor (Lay Me Down), Syamel dan Black Hanifah (Di Pintu Mahligai) serta Shahir dan Awi Rafael (Hello).

Final AF Megastar 2017 akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD dari Royal Theatre Shah Alam, di sini minggu depan. – MalaysiaGazette