Datuk Seri Jamal Md Yunos
Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos bercakap kepada media semasa pembukaan Restoran Gabungan NGO 1Malaysia yang menyediakan makanan percuma di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos memuji tindakan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah yang mengekalkan identiti berpakaian kuning sewaktu menghadiri Himpunan Anti-Kleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Beliau berkata, sekiranya pihak penganjur tidak mengubah identiti mereka dengan memakai baju menyerupai Gerakan Baju Merah dan UMNO, perhimpunan itu tidak mungkin hambar dan gagal menarik penyokong pembangkang itu.

“Boleh cuba buat sekali lagi tapi jangan tukar identiti, kalau asal warna kuning, kekalkan warna kuning. Jangan ciplak baju saya yang ada bendera Malaysia.

“Walaupun orang lain pakai baju merah dia (Maria Chin) tetap pakai baju Bersih, inilah penyokong-penyokong mereka harapkan.

“Jangan tukar identiti, dan menyerupai UMNO atau gerakan baju merah yang tidak disenangi oleh penyokong-penyokong mereka,” katanya kepada pemberita semasa pembukaan hari pertama Restoran Gabungan NGO 1Malaysia yang menawarkan makanan tengahari secara percuma di Jalan Pahang, di sini, hari ini.

Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos (tengah) melayani pengunjung yang datang semasa pembukaan Restoran Gabungan NGO 1 Malaysia yang menyediakan makanan percuma di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OKTOBER 2017

Himpunan Anti Kleptokrasi Selamatkan Malaysia anjuran Pakatan Harapan pada Sabtu lalu merupakan perhimpunan pertama yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad sejak menyertai pembangkang.

Perhimpunan itu gagal mencapai matlamatnya apabila kehadiran mengecewakan sekadar 8,000 peserta berbanding 100,000 orang yang disasarkan, seakliguis tidak dapat menandingi siri perhimpunan Bersih.

Penganjuran perhimpunan itu kononnya mahu menentang amalan kleptokrasi di dalam kerajaan hari ini.

Mengulas lanjut, Jamal berkata, kegagalan perhimpunan itu tiada kena-mengena dengan ketidakhadiran dan penglibatan Pas yang sebelum ini banyak menjayakan pelbagai perhimpunan mega.

“Kegagalan perhimpunan mereka bukan kerana Pas, tapi kerana imej yang mereka bawa itu ke arah UMNO dan penyokong NGO ke arah UMNO, contohnya baju merah.

“Penyokong-penyokong pembangkang ini sudah sebati dengan baju kuning, bila tukar baju merah, dia ingat baju merah ini Jamal Yunos, jadi mereka tak nak pakai dan tidak hadir.

“Kalau mereka datang pun macam jadi penyokong UMNO, sebab baju merah ini adalah Jamal Yunos,” katanya. – MalaysiaGazette.